mk-logo
Berita
Rangka wanita prasejarah Penang Woman akhirnya miliki wajah
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 4:30 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Penang Woman, rangka manusia yang berusia lebih 5,000 tahun dan ditemukan ketika kajian penyelidikan di Guar Kepah, Kepala Batas dekat George Town, kini mempunyai 'wajah' lakaran yang siap pada 5 Julai lepas.

Lakaran wajah Penang Woman itu dibuat menerusi kaedah Forensic Facial Approximation (FFA) berdasarkan tengkoraknya oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.

Artikel jurnal berkenaan wajah rangka manusia itu diterbitkan menerusi Applied Sciences, https://www.mdpi.com/journal/applsc pada 5 Ogos lepas, dengan kumpulan yang sama sebelum ini telah berjaya menghasilkan lakaran wajah Perak Man menggunakan kaedah 3D pembinaan semula secara maya, tahun lepas.

Seorang penyelidik USM yang juga penulis koresponden bagi jurnal itu, Shaiful Idzwan Sahidan berkata jurnal dan kajian penyelidikan itu dijalankan oleh tujuh penyelidik USM yang diketuai oleh Dr Johari Yap iaitu Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM.

Shaiful Idzwan yang ditemui hari ini berkata Penang Woman merupakan objek warisan yang tak ternilai dan sangat signifikan bagi tapak arkeologi Guar Kepah serta merupakan satu-satunya rangka Guar Kepah iaitu rangka ke-42 yang ditemukan oleh pengkaji Malaysia pada 19 April 2017 serta berada di Pulau Pinang.

"Rangka Penang Woman satu-satunya dijumpai di bawah Bukit Kerang iaitu timbunan cangkerang kira-kira 7 meter oleh pengkaji Malaysia yang kita perlu menjaganya demi warisan bersama.

"Rangka manusia itu dianggarkan mati ketika berusia 30 hingga 35 tahun dengan ketinggian kira-kira 150 cm dan ujian pada tisu rangka turut menyimpulkan bahawa individu ini banyak mengambil protein daripada makanan laut atau sungai," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk mendapatkan hasil wajah Penang Woman itu dengan melalui beberapa proses antaranya imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di Hospital USM di Kubang Kerian, Kelantan.

Shaiful Idzwan berkata seterusnya, pihaknya menggunakan kaedah FFA bagi mengenal pasti dan membina semula muka Penang Woman itu sebelum lakaran wajahnya dibuat dan berjaya mendapatkannya pada 5 Julai lepas.

Beliau berkata berdasarkan wajah Penang Woman pihaknya mendapati dia adalah daripada kelompok atau ras campuran Australomelanesoid (tipikal orang asli) dan Mongoloid.

"Pendedahan rupa bentuk wajah Penang Woman itu juga merupakan antara petunjuk penting yang menunjukkan bahawa lebih 5,000 tahun lepas berlaku percampuran dua kelompok ras pada ketika itu yang tinggal di kawasan Guar Kepah," katanya.

Bawa pulang 41 rangka dari Belanda

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut berharap 41 lagi rangka yang ditemukan di Guar Kepah dan telah dibawa ke Belanda dapat dibawa pulang oleh kerajaan negeri ke Pulau Pinang bagi tujuan penyelidikan.

"Sekiranya rangka-rangka yang ditemukan di Guar Kepah dapat dibawa pulang ke sini, kita dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang kelompok dan cara hidup masyarakat zaman prasejarah ketika itu,'' katanya.

Guar Kepah di Kepala Batas, merupakan tapak prasejarah pertama di Semenanjung yang digali untuk dikaji sejak 1863, kira-kira 162 tahun yang lepas.

Bagi yang berminat untuk melihat terus tapak arkeologi dan replika Penang Woman boleh ke Galeri Warisan arkeologi Guar Kepah manakala rangkanya yang asli masih dipelihara dan diteliti di USM kerana ia perlu berada dalam persekitaran terkawal dengan suhu serta kelembapan yang baik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS