Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Perjuangan Mat Kilau dan kemaruk Mat 'Sakau'

ULASAN | Tidak terlalu memeranjatkan apabila filem tentang Mat Kilau mengumpul puluhan juta ringgit hasil daripada tayangannya. Hal itu kerana Melayu pascapandemik Covid-19 memerlukan seorang wira yang boleh mengubat 'kelukaan' mereka.

Covid-19 bukan sekadar penyakit maut, malah 'musuh' yang menjejaskan ekonomi, keamanan, kesejahteraan hidup dan akal manusia sejagat.

Ia juga bukan sahaja kisah kematian, malah membentuk jiwa berontak dalam pelbagai bentuk mengikut garis masa, tempat dan keadaan.

Apabila Mat Kilau datang ke pawagam, keluarga Malaysia menjadikannya eskapisme dengan menghayati watak wira yang bukan sahaja mengangkat sejarah, malah diharap untuk mengukuhkan semangat kemerdekaan.

Mat Kilau ialah wira Melayu yang tegar menentang penjajah. Mat Kilau penawar Melayu yang keresahan.

Kelantan yang tiada pawagam sejak 32 tahun lalu pun membenarkan filem tersebut ditayangkan di kawasan terhad. Ada 'lebai' yang dulunya ghairah menolak pawagam kini secara terang-terangan berkunjung ke pawagam tetapi di Kuala Lumpur.

Dalil yang digunakan untuk meracuni fikiran penduduk Kelantan selama tiga dekad lalu disimpan seketika semata-mata untuk meragut peluang bagi menunjukkan semangat patriotisme.

Ogos tahun ini adalah masa sesuai untuk melihat watak Mat Kilau dalam bentuk baru. Ia ada kaitan dengan teori hukum alam  yang dipaparkan oleh Plato dan Aristotle.

Dalam teori mereka dikatakan bahawa sesebuah negara terbentuk atas dasar pada sebuah hal yang alami. Segala sesuatu yang terjadi di dalamnya telah bersesuaian dengan hukum alam, begitu juga dengan proses pembentukan sebuah negara itu sendiri.

Selain itu, teori pembentukan negara juga didasari atas kecenderungan manusia untuk selalu bersosial, berkumpul, serta saling berhubungan.

Kaya dek bijih timah

Mat Kilau berjuang secara alami untuk menuntut kemerdekaan. Psikologi anak jajahan yang berjuang menentang penjajah adalah untuk kepentingan bangsa.

Dia tidak bersekutu dengan penjajah. Dia bukan tali barut orang putih seperti Mat Sakau yang banyak kita lihat sekarang.

Hari ini dengan semangat Mat Kilau, ramai yang muncul garang lagi ranggi laksana harimau. Malangnya mereka hanya harimau kertas. Mereka Mat Kilau jadi-jadian.

Mereka adalah Mat Sakau yang ikut menjarah hasil mahsul bangsa sendiri. Kerana itu ramai pembesar Melayu yang hidup senang di atas pungutan cukai daripada rakyat. Mereka adalah pembesar Melayu dalam sistem feudal yang diketuai oleh raja.

Mat Sakau kemudian bangkit menentang British bukan untuk merdeka tetapi kerana Inggeris memperkenalkan pentadbiran daerah (DO) dan mengutip cukai untuk kerajaan negeri.

Ngah Ibrahim dan Long Jaafar di Perak, Raja Bot, Raja Jumaat di Selangor tidak pun memberontak apabila Inggeris mengutip cukai.

Daerah mereka kaya dengan bijih timah, mereka jemput tauke Cina dari Negeri-negeri Selat jadi rakan kongsi melombong bijih. Itu  lebih mewah daripada mengutip cukai.

Nasionalisme Melayu itu miliknya golongan marhaen seperti Ibrahim Yaakob, Burhanuddin Helmi, Ahmad  Boestamam, Pak Sako (Ishak Haji Muhammad), dan Abdullah CD yang merengkok dipenjara kerana menuntut kemerdekaan.

Mereka menubuhkan organisasi, berjuang bersama parti untuk seluruh rakyat bukan untuk kepentingan pembesar. Ia jauh berbeza daripada Umno yang dibidankan untuk menyelamatkan raja dan pembesar bangsawan.

Sejak dulu sudah ada

Memang benar kata-kata Joseph Stalin, sejarah ditulis oleh mereka yang menang dan berkuasa - walaupun pada masa sama mereka mungkin kaya dengan pembohongan.

Golongan yang kononnya ke London untuk menuntut kemerdekaan sebenarnya mahu meminta jawatan dan perlindungan daripada penguasa penjajah.

Kita boleh menerima kisah Mat Kilau dengan perjuangannya tanpa tolak ansur tetapi kita sukar menerima Mat Sakau yang berselindung di sebalik imej semangat Mat Kilau yang sebenarnya mahu memperalatkan Melayu dan Islam.

Skandal 1MDB adalah bukti jelas betapa rakusnya seorang tokoh Mat Sakau menjarah hasil negara sambil konco-konconya sibuk melaungkan - kononnya - perjuangan Melayu dan Islam.

Tragedi  penyerahan Pulau Pinang kepada British, meleret ke Perjanjian Pangkor, diikuti Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang adalah bukti betapa ramainya Mat Sakau dalam sejarah bangsa Melayu.

Apabila  Perjanjian Bangkok ditandatangani, Kedah (Saiburi), Perlis (Perlit), Kelantan (Kalantan) dan Terengganu (Trangganu) diserahkan kepada British oleh Siam tanpa rundingan atau penentangan radikal oleh pemimpin-pemimpin negeri tersebut.

Mereka hanya Mat Sakau yang mendapat hasil dengan menjual negeri sendiri.

Sebelum Perang Dunia Kedua sudah terdapat beberapa pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Kesatuan Melayu Muda. Selepas itu lahir pertubuhan dan parti politik untuk memperjuangkan kemerdekaan.  

Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946 untuk menentang Malayan Union. Umno tidak memperjuangkan kemerdekaan. Ia dibuktikan dengan kata-kata  Presiden Umno, Onn Jaafar, bahawa "sebatang jarum pun tidak mampu kita buat, inikan pula hendak merdeka".

Pada 1948 Darurat diisytiharkan. Banyak pertubuhan dan persatuan diharamkan kecuali  Umno. Ia menjadi kemusykilan beberapa pihak terutamanya pertubuhan dan persatuan lain: mengapa Umno masih dibenarkan bergerak?

Ketika itu populariti Umno dan penjajah British agak rendah berbanding Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (Awas), Hizbul Muslimin, Parti Komunis Malaya dan lain-lain.

Tidak salah jika kita meragui bahawa Umno memang berkerjasama dan berpakat dengan kerajaan Inggeris.

Mat Sakau bersekutu demi kuasa

Bulan kemerdekaan tahun ini menjelma dengan kemungkinan pilihan raya umum beberapa bulan lagi. Mat Sakau akan bergerak ke hulu ke hilir dengan pelbagai pidato.

Kita akan dihidangkan dengan lebih banyak isu kaum dan agama.

Bagi parti berorientasikan agama, paluan dalil akan makin kuat, seolah-olah hanya mereka yang layak mentafsir agama.

Kalau dulu, orang yang berlainan pandangan akan dilabel sebagai syiah dan sekular, sekarang muncul tuduhan Wwahabi dan liberal.

Mereka sudah tentu tidak lagi bersedia membuat amanat baru untuk mengkafirkan orang lain kerana golongan yang dikafirkan dahulu kini menjadi sahabat mereka di bawah satu kelambu.

Parti  berorientasikan kaum pula makin hebat. Dari puak kanan, seperti biasa isu ketuanan bangsa dan kedaulatan negara akan terus dicanang. Pihak di jalur kiri pula masih berjanji negara sekular, kebebasan gender dan hak asasi.

Mereka adalah Mat Sakau dalam bentuk yang tersendiri dan tidak jemu-jemu mempergunakan sebarang kemungkinan untuk berkuasa atau mengekalkan kuasa.

Bagi mereka manifesto pilihan raya bukan kitab suci. Kitab suci sudah tidak wujud dalam dunia Mat Sakau.

Pada era moden Mat Sakau bukan sahaja istana dan feudalisme. Mat Sakau juga bersekutu dengan kapitalis demi kelangsungan kuasa. Kemerdekaan, semangat nasionalis dan mantera sejarah hanya kenangan lampau zaman Mat Kilau.

Mat Sakau hanya watak yang sombong dan bongkak. Pada Ogos ini, ayuh, kita saksikan Mat Sakau terus ‘bersakau!’

Nota pengarang: ‘Sakau’ adalah perkataan yang setakat ini belum diterima dalam kosa kata bahasa Melayu. Perkataan yang ada dan hampir dengan ‘sakau’ ialah ‘cekau’.


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS