Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LCS: ‘Macam mana Rafizi dapat minit mesyuarat?’

Bekas pengerusi Lembaga Pengarah Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), Lodin Wok Kamaruddin, mempersoalkan bagaimana Rafizi Ramli memperoleh minit mesyuarat lembaga tersebut.

Dia berkata demikian selepas Rafizi menuding jari kepadanya sebagai pihak yang  menyetujui penyerahan kawalan pengurusan dalam syarikat subkontraktor projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) kepada syarikat asing.

“Dia (Rafizi) mungkin semak kembali minit mesyuarat lembaga pengarah. 

“Bagaimana dia dapat akses pada dokumen-dokumen itu?” soalnya kembali ketika diminta mengesahkan dakwaan itu.

Cuba mengaitkan masalah projek itu dengan Najib Razak, Rafizi hari ini turut mengingatkan bahawa Lodin Wok memang diketahui umum rapat dengan bekas perdana menteri itu.

Lodin Wok dan Najib dalam pelancara TRX pada 2012

Sementara itu, menjawab soalan Malaysiakini, Lodin Wok berkata dia tidak dapat memberi sebarang komen berkaitan dakwaan Rafizi itu kerana perkara itu sudah lama.

“Perkara ini berlaku 12 tahun lalu dan saya tidak ingat lagi. 

“Saya pun tak ada minit mesyuarat itu di tangan sekarang,” katanya ringkas melalui perkhidmatan pesanan teks.

BHIC pada Januari 2011 memaklumkan perubahan lembaga pengarah besar-besaran kepada Bursa Malaysia, termasuk pengunduran Lodin Wok.

Isu kawalan terhadap syarikat subkontraktor LCS muncul setelah Najib mempertahankan pemberian tender secara berlapis-lapis atas alasan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) ialah syarikat syarikat sekutu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Rafizi Ramli

Rafizi mendakwa dalam perjanjian pembelian 51 peratus saham CAD, anak syarikat LTAT, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) bersetuju memberikan kawalan pengurusan kepada kontraktor pertahanan Jerman Rheinmetall Air Defence AG (RAD) yang hanya menguasai 49 peratus pegangan.

Nama syarikat-syarikat ini muncul setelah Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan perolehan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion  yang bermula pada 2011 tidak pernah siap walaupun RM6 bilion telah dibelanjakan.

Malah, kosnya dikatakan meningkat RM1.4 bilion susulan keputusan Kementerian Pertahanan dan BNS tidak mengendahkan pendirian tentera laut yang mahukan reka bentuk Sigma, yang lebih murah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS