Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang serah memo tuntut RCI pada Istana Negara
Diterbitkan:  Aug 11, 2022 12:51 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Amanah menyerahkan memorandum kepada Istana Negara bagi mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat kegagalan perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Memorandum itu diserahkan oleh Ketua Biro Mobilisasi Amanah Mohd Sany Hamzan susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara Muzli Mohd Zin kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan perolehan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion  yang bermula pada 2011 tidak pernah siap walaupun RM6 bilion telah dibelanjakan.

Malah, kosnya dikatakan meningkat RM1.4 bilion susulan keputusan Kementerian Pertahanan dan kontraktor Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pendirian tentera laut yang mahukan reka bentuk Sigma, yang lebih murah.

Bercakap selepas pemberita selepas itu, Sany berkata isu LCS telah menggusarkan rakyat.

"Ini sudah tentu membimbangkan dan mengusarkan rakyat kita kerana melibatkan soal berkaitan kedaulatan, pertahanan dan keselamatan negara.

"Ia menggunakan wang rakyat dan melibatkan institusi negara,” katanya.

Semalam, memorandum tuntutan sama dikemukakan oleh Bersatu, yang tidak sehaluan dengan BN tapi masih mendukung kerajaan, kepada Yang di-Pertuan Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS