Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gobi Krishnan dipecat sebagai ahli lembaga pelesenan WPKL
Diterbitkan:  Aug 11, 2022 12:48 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Bekas Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, S Gobi Krishnan telah dipecat sebagai ahli Lembaga Pelesenan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) pada 4 Ogos lalu, kata Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim.

Ini, menurutnya, selepas kementerian mendapati Gobi Krishnan telah berstatus bankrap berkuat kuasa mulai pada 7 Januari 2021.

Shahidan berkata bahawa pada 3 Ogos lalu, kementeriannya telah membuat carian kebankrapan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, dan keputusan yang diterima mengesahkan pemipin Bersatu itu telah berstatus bankrap.

"Akta 176 tidak memperuntukkan bahawa seseorang yang bankrap tidak boleh dilantik menjadi ahli lembaga pelesenan. Akta tersebut juga tidak memperuntukkan bahawa jawatan itu secara automatiknya menjadi kosong jika ahli lembaga pelesenan berstatus bankrap.

"Meskipun begitu, bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, saya telah pun membatalkan pelantikan beliau sebagai ahli lembaga Pelesenan WPKL berkuatkuasa 4 Ogos 2022," kata dalam kenyataan semalam.

Untuk rekod, pada 3 Ogos lalu, Timbalan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan D Pala Kumaran menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan dakwaan ada individu muflis dilantik menjadi ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selain itu dia juga mendakwa individu terbabit memegang jawatan ketua bahagian sayap bersekutu Bersatu.

Susulan laporan itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Dr Chong Fat Full mengesahkan bahawa Gobi Krishnan telah dipecat daripada jawatan selaku ketua penerangan dan semua jawatan lain.

Malaysiakini telah menghubungi Gobi Krishnan untuk mendapatkan ulasannya.

Gobi Krishnan dilantik sebagai ahli Lembaga Pelesenan WPKL sejak 20 Julai tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS