Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Najib dapatkan maklumat perbankan keluarga Zeti ditangguh

Permohonan Najib Razak untuk mendapatkan akses terhadap sejumlah dokumen berkaitan 1MDB, termasuk maklumat perbankan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz di mahkamah hari ini ditangguhkan.

Ini selepas peguam kepada bekas perdana menteri itu, Shafee Abdullah mengambil cuti sakit.

Di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Ravinthran N Paramaguru, peguam bersama perayu Effa Azuin Aidrul Hisham berkata Shafee dijangkiti demam.

"Saya dimaklumkan oleh peguam kanan (Shafee) bahawa dia syak dijangkiti demam daripada kakitangan di firma guamannya," kata Effa kepada panel hakim, yang turut dianggotai hakim Abu Bakar Jais dan Hahsim Hamzah.

Apabila Ravinthran bertanya kepada pihak pendakwaan, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib menyatakan mereka tidak ada bantahan untuk menangguhkan perbicaraanhari ini.

Mahkamah Rayuan kemudian menangguhkan perbicaraan dan menetapkan pengurusan kes esok bagi menetapkan tarikh lain untuk mendengar rayuan.

Peguam Sofea Shereen Salim merupakan peguam pemerhati bagi Zeti dan suaminya, Tawfiq Ayman.

Sebelum ini Najib memohon dokumen untuk menguatkan pembelaannya terhadap perbicaraan yang sedang dijalankan bagi kes rasuah melibatkan dana RM2.28 bilion 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Antara dokumen tersebut adalah yang didakwa menunjukkan keluarga Zeti menerima wang daripada Low Taek Jho, atau Jho Low, yang kini masih dalam buruan.

Najib juga memohon akses dokumen mahkamah Amerika Syarikat berhubung laporan forensik telefon bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner.

Pada 12 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1MDB.

Hakim yang menolak permohonan itu, Collin Lawrence Sequerah, turut mengendalikan perbicaraan kes rasuah Najib ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan yang suami Zeti, Tawfiq Ayman menafikan pernah menerima rasuah.

Dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan, Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion milik 1MDB.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan prosiding rayuan Najib bagi mendapatkan dokumen bank melibatkan bank pelaburan Amerika Syarikat Goldman Sachs dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz ditangguhkan hari ini setelah peguam utama bekas perdana menteri itu tidak sihat. 

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk P Ravinthran, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah membenarkan permohonan penangguhan oleh Effa Azuin Aidrul Hisham yang merupakan antara peguam dalam pasukan pembelaan Najib.

Ravinthran, yang mengetuai panel itu, mengarahkan pengurusan kes diadakan esok untuk menetapkan tarikh awal bagi prosiding rayuan itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Effa Azuin untuk mengecualikan Najib daripada menghadiri prosiding mahkamah hari ini yang berlangsung secara dalam talian.

Effa Azuin memberitahu mahkamah bahawa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak sihat kerana demam. 

Beliau berkata Muhammad Shafee yang tidak sihat pagi ini, telah ke klinik dan diberi cuti sakit. Beliau memohon mahkamah supaya diberi penangguhan pendengaran rayuan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang mewakili pendakwaan bersama Mohamad Mustafa P Kunyalam, tidak membantah penangguhan itu tetapi menyerahkan kepada mahkamah berhubung permohonan untuk mengecualikan kehadiran Najib dalam prosiding mahkamah hari ini.

Najib dalam usaha mendapatkan dokumen bank untuk digunakan dalam perbicaraannya membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Bhd ( 1MDB).

Beliau merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai tahun lepas yang menolak dua permohonan penemuannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan IMDBnya mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan. Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Najib memfailkan perintah mahkamah pada 24 Mac tahun lepas untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDBnya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lepas untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan kesnya masih berjalan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Dalam prosiding hari ini, peguam Sofea Shereen Mohamed Salim hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Zeti dan suaminya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS