Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan ganjaran RM100 juta Najib: Dr M lampirkan jawapan kerajaan
Diterbitkan:  Aug 9, 2022 5:20 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini melampirkan jawapan kerajaan berhubung pertanyaannya di Dewan Rakyat mengenai ganjaran yang diberikan kepada Najib Razak.

Dalam jawapan bertulis yang diterima, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad, berkata kerajaan masih mengkaji pemberian ganjaran kepada bekas perdana menteri keenam itu.

"Saya minta perdana menteri jelaskan cadangan kerajaan memberi ganjaran harta tanah dan lain-lain dilapor bernilai RM100juta kepada Najib, samada ia telah diberi dan supaya diperincikan pemberian kepada bekas perdana menteri itu dan bila.

"Ini jawapan yang saya terima," tulis Mahathir di Facebooknya, hari ini.

Berdasarkan jawapn yang diberikan Abd Latif sekadar berkata, elaun dan keistimewaan mantan perdana menteri itu adalah tertakluk kepada ketetapan kadar dan syarat di perenggan 21(1), Jadual Pertama, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

Bagaimanapun kata Abd Latif, dengan mengambil kira situasi semasa, kerajaan sedang melaksanakan kajian terperinci berhubung perkara itu.

"Yang mana kajian ini akan melihat secara menyeluruh berhubung cadangan untuk memberi ganjaran sama ada berbentuk harta tanah atau lain-lain kepada Najib atau mana-mana bekas perdana menteri selepas Najib," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi dalam soalannya meminta perdana menteri menyatakan cadangan kerajaan memberi ganjaran harta tanah dan lain-lain dilapor bernilai RM100 juta kepada Najib.

Mahathir ingin mengetahui sama ada ia telah diberi dan meminta supaya diperincian pemberian kepada bekas perdana menteri itu dan bila sekiranya ia telah dibuat.

Jika tidak, apakah kerajaan masih akan meneruskan pemberian tersebut dan kenapa, soal Mahathir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS