Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Masalah rasuah di Malaysia bukan lagi soal persepsi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya lebih tahu. Selepas skandal terbesar negara, 1MDB, yang melibatkan puluhan billion wang rakyat, kita dikejutkan sekali lagi dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melibatkan RM6 bilion wang rakyat.

Jika wang RM6 bilion itu disusun dalam bentuk not RM100 setiap satu, mungkin ia boleh merentangi laut dari Kuala Lumpur hingga ke Wellington, New Zealand.

Jika wang itu diperuntukkan untuk membina rumah rakyat, sekitar 75,000 unit rumah berharga RM80,000 setiap satu boleh siap dibina dalam tempoh kurang dari tiga tahun.

Bagi mereka yang prihatin, hari ini jika minum air teh tarik ketika sarapan, rasanya mungkin seperti air akar kayu. Begitu pahit rasanya untuk ditelan semua itu.

Kita boleh lihat masalah ini dari pelbagai perspektif. Kita boleh berdebat dan berhujah tentang masalah sistem yang tidak telus, atau kerana pentadbiran yang lemah, masalah perasuah yang licik, kecuaian individu hingga hal-hal melibatkan soal perjanjian dan sebagainya.

Namun semua perspektif terhadap masalah itu tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana pokok persoalan yang paling besar ialah kegagalan kepimpinan oleh pemimpin Melayu yang dipertanggungjawabkan.

Kenapa saya kaitkan masalah ini dengan ‘Melayu’? Adakah saya rasis? Tidak.

Sebabnya sangat jelas: menteri pertahanan orang Melayu, pegawai-pegawai kanan kerajaan juga Melayu, ketua-ketua dan pegawai kanan GLIC juga orang Melayu.

Tanya nak beri berapa

Mereka semua adalah pemimpin dan ketua yang menggerakkan projek besar ini.

Tetapi apabila ini terjadi, seolah-olah ia memberi gambaran bahawa semua ketua dan pemimpin Melayu ini jahil dan tidak tahu mengurus sumber negara dengan betul serta amanah, apatah lagi untuk menjaga soal keselamatan negara.

Saya ingin beri sedikit gambaran betapa sakitnya bangsa Melayu ini.

Ia berlaku agak lama dahulu, iaitu pada 2004-2005 (zaman Abdullah Ahmad Badawi). Saya ke pejabat seorang menteri untuk menghantar satu kertas kerja bagi program kami.

Kami merupakan budak-budak NGO yang mahu mohon dana untuk program dengan belanja sekitar RM8,000.

Pegawai menteri terbabit mengambil kertas kerja saya lalu bertanya, berapa yang saya boleh beri kepadanya. Saya tercengang kerana dia terus bertanya soalan tersebut tanpa melihat kertas kerja saya terlebih dulu.

Dalam kecewa saya bertanya semula kepadanya terus terang: kenapa perlu saya membayar dia hanya untuk hantar kertas kerja kepada menteri?

Mereka menjawab - juga dengan berterus terang. Bagi mereka, begitulah sistem yang ada dan ia beroperasi sebegitu untuk memastikan sesuatu projek itu diperolehi dengan lebih mudah dan segera, lebih-lebih lagi kepada orang seperti saya, Melayu Islam.

Dengan adanya ‘pengeras’ mereka akan pastikan projek itu saya dapat dengan segera.

Saya terdiam mendengar hujah pelaku rasuah itu. Ceritanya habis di situ dan saya keluar tidak kembali lagi.

Ia merupakan projek ‘ciput’ yang bawah RM10,000. Saya tidak dapat bayangkan jika projek itu bernilai lebih RM1 juta apa lagi kalau RM6 bilion.

Rasuah berlaku ketika negara dan kerajaan kini didominasi oleh orang Melayu. Inilah hakikat yang amat pahit.

Demi Melayu dan Islam

Hanya mereka yang ada ‘akses’ dengan sumber - iaitu pegawai kanan dan pemimpin politik - saja mampu membuat jaringan (sistem) sebegini.

Dan sistem ini takkan mampu dilawan dengan hanya meletakkan pegawai integriti di setiap jabatan kerajaan. Ia tak boleh ditangani dengan pelbagai surat aku janji, surat deklarasi, surat rasmi atau pekeliling.

Ini semua tidak boleh selagi ada pemimpin dan kepala yang akan bypass semua halangan-halangan tersebut.

Rasuah di Malaysia adalah jenayah profesional. Mereka itu kartel, mereka itu scammer terbesar, lebih besar daripada kartel dadah.

Kartel dan scammer terbabit bergerak bebas dalam pejabat kerajaan malah pejabat menteri. Bagaimana mereka boleh bebas bergerak?

Kerana mereka bergerak dengan meyakinkan kakitangan rendah bersama hujah atau alasan kononnya apa yang dilakukan itu "demi Melayu dan Islam".

Seperti saya tulis di sini, kegiatan rasuah ini paling besar dalam negara kita. Daripada sekecil-kecil benda yang boleh ‘disembelih’ untuk dapat duit pengeras sampailah kepada sebesar-besar alam punya kerja, juga akan digelek dengan kegiatan rasuah.

Dan orang Melayu adalah bangsa yang amat terdedah dan tercekik dengan masalah ini kerana hujah "untuk Melayu dan Islam".

Tidak ada jalan keluar yang lain kecuali menolak parti dan pemimpin yang jahat serta memilih wadah baru dengan barisan pemimpin yang jujur dan amanah.

Walaupun formula ini nampak mudah, tetapi ia jalan yang sangat sukar kerana orang Melayu mudah keliru membezakan di antara Melayu yang baik dengan Melayu yang jahat kerana faktor "Melayu Islam" itu.

Seperti biasa, apabila pecah skandal besar seperti isu LCS ini, orang Melayu marah. Tapi marah-marah sayang. Kenapa? Kerana benda yang sama, yang terima duit rasuah itu ialah orang Melayu, orang Islam.

Bangsa Melayu akan kalah, bukan kerana dijajah oleh orang lain, atau kerana tiada nabi berbangsa Melayu. Bukan.

Bengsa Melayu akan kalah kerana orang Melayu itu sendiri lemah dan terus memilih pemimpin jahat. Kerana itu Dr Mahathir Mohamad mengambil keputusan menubuhkan Pejuang dan Gerakan Tanah Air.

Kerana kita mahu meletakkan pemimpin yang amanah di tempat yang betul.


MAHDZIR IBRAHIM adalah ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS