Empat persatuan menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) supaya tidak menangguhkan sementara pengambilan pekerja asing seperti diumumkan baru-baru ini.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata, penangguhan itu akan membawa impak besar terhadap kekurangan tenaga kerja di semua sektor.
"Sebelum ini permohonan pekerja asing bagi sektor perkhidmatan adalah ketat dan jumlah keseluruhan pekerja asing bagi sektor restoran tidak sampai tiga peratus.
"Presma dan NGO lain sudah pun membawa perkara ini kepada pihak berwajib memandangkan situasi perniagaan yang amat memerlukan khidmat pekerja asing terutama selepas peralihan ke fasa endemik.
"Hal in bagi membantu ahli-ahli persatuan mendapatkan tenaga kerja dalam masa terdekat kerana hanya 30 peratus permohoan ahli persatuan untuk mendapat pekerja asing diluluskan, manakala baki sebanyak 70 peratus permohonan tersebut masih berada dalam sistem.
"Ada sesetengah ahli (persatuan) pula baru sahaja ingin membuat permohonan kerana kekurangan dokumen yang diperlukan dan ia perlu mengambil masa yang lama untuk menyediakan dokumen tersebut," katanya pada sidang media di pejabat Presma, Sentul, hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) J Suresh dan Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) Abdul Alim Sidique Zakariah.
Terdahulu pada 5 Ogos lalu KSM mengeluarkan surat pekeliling memaklumkan permohonan pengambilan pekerja asing ditangguhkan dari 15 Ogos hingga 31 Ogos.
Kementerian memaklumkan penangguhan ini bagi membolehkan semakan ke atas tatacara permohonan pekerja asing susulan pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang berkuatkuasa pada 1 September.
Kaji semula syarat khas
Sementara itu, Abdul Alim meminta KSM mengkaji semula dua syarat khas kepada pengusaha kedai runcit untuk mengambil pekerja asing.
"Syarat pertama adalah keluasan premis mesti melebihi 2,500 meter persegi. Ini hanya membolehkan syarikat gergasi seperti Giant, Mydin, Tesco. Lotus dan AEON mampu memenuhi syarat ini.
"Syarat kedua adalah bilangan kuota pekerja asing yang layak telah ditetapkan sebanyak 15 peratus daripada jumlah pekerja tempatan. Ini bermaksud kami hanya layak mendapat satu kelulusan pekerja asing jika mempunyai tujuh pekerja tempatan.
"Sejujurnya, jika kami mendapat tiga pekerja tempatan, maka kami tidak memerlukan khidmat pekerja asing. Kami harap kementerian mengemaskini kedua-dua syarat tersebut," katanya.