Kumpulan pertama pekerja Bangladesh di bawah terma baru yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MOU) antara Malaysia dan negara itu tiba di KLIA pagi ini.
Menurut dokumen perjalanan yang dilihat Malaysiakini, seramai 53 pekerja dihantar oleh Agensi Pengambilan Bangladesh (BRA) Catharsis International untuk bekerja di sebuah kilang memproses makanan di Semenyih, Selangor.
Dokumen itu turut menyatakan bahawa visa pekerja dikeluarkan pada 7 Ogos.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia Md Golam Sarwar turut hadir di KLIA hari ini bagi menyambut ketibaan mereka.
"Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh pada minggu lalu juga telah mengesahkan permohonan daripada 80 majikan tempatan yang melibatkan penggajian seramai 6,000 warga Bangladesh.
"Bagi para majikan yang telah membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen dan bercadang untuk menggajikan pekerja Bangladesh, mereka boleh memohon pengesahan penggajian dan dokumentasi seperti kontrak pekerjaan serta pesanan kerja ke Suruhanjaya TInggi Bangladesh di Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Semalam, akhbar Bangladesh The Business Standard memetik Ketua Pengarah Biro Sumber Manusia, Pekerjaan dan Latihan Bangladesh Md Shahidul Alam yang mengesahkan sekurang-kurangnya 5,000 pekerja daripada 16 agensi pengambilan lain juga dalam proses ke Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) Sukumaran Nair memberitahu Malaysiakini, kelulusan pekerja datang daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan untuk permohonan yang dibuat menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
"Ada dua jenis kelulusan. Pertama kelulusan yang dilanjutkan yang dikeluarkan oleh KDN sehingga tahun lalu, dan selepas itu ia diambil alih Kementerian Sumber Manusia.
"Mereka adalah kumpulan pertama yang hadir di bawah MOU Malaysia-Bangladesh," katanya.
Akhbar Bangladesh Dhaka Tribune memetik seorang pegawai Catharsis International sebagai berkata, pekerja diambil menerusi kontrak tiga tahun gaji minimum - selain perbelanjaan untuk penerbangan ke Malaysia serta kos tempat tinggal dan pengangkutan.
'Kos pengambilan tinggi'
Sementara itu, pihak pengambilan pekerja di Bangladesh membantah apa yang didakwa sebagai penerusan sindiket dalam pasaran tenaga kerja, di tengah kerisauan berhubung kos tinggi yang ditanggung pekerja, iaitu sehingga RM17,000 atau lebih sepuluh kali ganda berbanding gaji minimum di Malaysia.
"Pada mulanya, kami mendakwa sistem pengambilan bersindiket akan meningkatkan kos migrasi, seperti apa yang berlaku pada masa lalu.
"Itulah yang berlaku sekarang," kata Tipu Sultan, presiden agensi Oikko Parishad, seperti dipetik The Business Standard.
Sukumaran memberitahu Malaysiakini bahawa jumlah kos pengambilan adalah dua kali ganda daripada apa yang ditetapkan kerajaan Bangladesh.
"Secara tidak rasminya, jumlah yang ditetapkan kerajaan Bangladesh adalah RM7,000 dan RM8,000. RM7,000 untuk sektor perladangan dan RM8,000 untuk sektor pembuatan dan lain-lain.
"Tetapi 'sindiket' ini menetapkan bayaran yang lebih, termasuk bayaran untuk ejen di Malaysia," katanya lagi.
Terdahulu, Saravanan berkata Malaysia mengenakan "dasar sifar-kos" kepada pekerja dari 14 negara.
Namun, dia juga berkata kerajaan tidak dapat mengawal kos di negara asal pekerja - situasi yang dikaitkan dengan kitaran ikatan hutang dan buruh paksa.
Dakwaan sindiket itu dikaitkan dengan ketegasan Malaysia untuk mengehadkan agensi yang boleh menghantar pekerja kepada 25 agensi utama dan 250 subagensi yang disenaraikan dalam FWCMS, yang dikendalikan syarikat Bestinet Sdn Bhd.
Sindiket agensi pengambilan
Mengulas ketibaan pekerja hari ini, Sukumaran berkata agensi di Malaysia dan Bangladesh telah mengaitkan pemilik Catharsis International, Ruhul Amin Shwapon dengan pengasas Bestinet, Mohd Amin Abdul Nor, sebagai sebahagian daripada apa yang didakwa sebagai sindiket tersebut.
"Semua orang tahu Ruhul Amin mengetuai sindiket 25 agensi," dakwanya.
Saravanan sebelum ini menafikan dakwaan yang dibuat pemain industri tenaga kerja yang mengaitkan Bestinet dan Mohd Amin dengan satu sindiket membekal pekerja Bangladesh.
Mohd Amin namun sebelum ini disoal siasat SPRM dalam siasatan badan itu terhadap dakwaan kejanggalan dalam pemilihan 25 agensi tersebut.
SPRM juga sebelum ini menahan CEO Bestinet dan seorang lagi pegawai tinggi syarikat itu, serta beberapa individu daripada agensi di Malaysia yang didakwa memberi dan menerima rasuah bagi mendapatkan kuota pekerja asing.
Bestinet pula tidak mengesahkan mahupun menafikan tangkapan tersebut, sebaliknya mengeluarkan kenyataan untuk menyatakan keyakinan yang SPRM akan membersihkan syarikat dan pekerjanya daripada sebarang dakwaan.