Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kos LCS naik 3 kali ganda kerana kontraktor berlapis-lapis’
Diterbitkan:  Aug 9, 2022 1:45 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Perolehan kapal tempur pesisir (LCS) naik tiga kali ganda kerana kontrak berlapis-lapis, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Katanya, kerajaan melantik Boustead Naval Shipyard (BNS), BNS melantik subkontraktor Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD), CAD melantik Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) dan CED melantik syarikat Perancis DCNS.

Katanya, siasatan menunjukkan dua pakej yang dimuktamadkan pada harga RM1.185 bilion dengan kerajaan Malaysia, sedangkan surat lantikan dari CED (subkontraktor lapis kedua) kepada DCNS meletakkan kos sebanyak RM397 juta sahaja. 

“Maknanya, bagi kerja-kerja yang akan diinvois oleh DCNS kepada CED sebanyak RM397 juta, tuntutan dari sub-kontraktor CED dan CAD kepada lerajaan Malaysia (melalui BNS) adalah tiga kali ganda lebih mahal,” katanya.

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos lalu mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6 bilion walaupun tiada satu pun kapal yang siap.

Laporan itu juga mengatakan pandangan panglima tentera laut sebagai penguna akhir kapal itu tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan kontraktor utama BNS.

Sementara itu, Rafizi justeru menyindir bahawa kanak-kanak pun boleh membuat kesimpulan ada “tangan ghaib” yang menyusun kontrak perbekalan hingga “mengambil komisen 200 peratus dari kos yang dicaj DCNS”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS