Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Roslan Shahir dilantik ahli Lembaga Pengarah TV Alhijrah
Diterbitkan:  Aug 9, 2022 11:32 AM
Dikemaskini: 3:32 AM

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, adalah seorang daripada sembilan tokoh yang dilantik menjadi anggota Lembaga Pengarah TV Alhijrah, umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad.

Dalam kenyataan dibuat semalam, Idris berkata mereka yang terpilih itu terdiri daripada tokoh yang berpengalaman luas dalam bidang dakwah, penyiaran dan pengurusan.

Selain Roslan Shahir yang dinyatakan sebagai aktivis masyarakat, turut dilantik menganggotai badan itu ialah penceramah popular dan bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Mohd Zamri Mohd Zainuldin.

Pada 2018 Mohd Zamri menjadi pertaruhan PAS untuk merebut kerusi DUN Sungai Burong.

Turut dilantik, bekas senator Asmak Husin; Mohamad S Ahmad (usahawan); Hasliana Kamarudin (Kementerian Kewangan Malaysia), Ahmad Fuad Mat Ali (Ketua Pegawai Operasi KUISCELL Sdn. Bhd), Mohamad Zarifi Mohamad Daud (Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Jailani Johari (bekas timbalan menteri komunikasi dan multimedia) dan Namanzee Harris (Ketua Pegawai Eksekutif Alhijrah Media Corporation).

Menurut Idris bekas rektor Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Ab Halim Tamuri, dilantik sebagai pengerusi lembaga tersebut.

Semua pelantikan itu, kata naib presiden PAS berkenaan, berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.

"​Latar belakang serta kepakaran beliau (Ab Halim) sebagai profesor di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi kekuatan untuk memacu TV Alhijrah selaku sebuah stesen TV penyiaran Islam yang memberi fokus kepada pembinaan modal insan," katanya.

Tambah Idris pihaknya sangat yakin gabungan kewibawaan serta kepakaran seluruh ahli lembaga pengarah baru itu dapat memacu kecemerlangan TV Alhijrah sesuai dengan visi dan misi penubuhannya.

"​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengerusi dan seluruh ahli Lembaga Pengarah TV Alhijrah yang baru dilantik.

"​Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS