Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan kekal tolak saman Hindraf berkaitan Zakir Naik

Hindraf gagal dalam rayuannya untuk menghidupkan semula saman yang memohon perintah supaya pendakwah Islam Dr Zakir Naik diisytiharkan sebagai mengancam keharmonian etnik dan agama di Malaysia.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy dan 18 perayu lain.

Ketika dihubungi petang ini, peguam perayu S Karthigesan berkata Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2018 untuk membatalkan saman pemula (OS).

Peguam itu berkata, pihak mahkamah - juga dianggotai hakim S Nantha Balan dan Azman Abdullah - turut memerintahkan perayu membayar kos RM5,000 kepada kerajaan.

Karthigesan menambah, dia masih belum menerima sebarang arahan daripada anak guamnya sama ada untuk memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

Gambar Hiasan - Dr Zakir Naik

Pada 13 Feb 2018, timbalan perdana menteri ketika itu, Ahad Zahid Hamidi dan empat pihak lain berjaya mengketepikan permohonan Waythamoorthy dan 18 aktivis lain yang mahu perisytiharaan bahawa Dr Zakir adalah ancaman kepada keselamatan Malaysia dan oleh itu tidak seharusnya diberikan status pemastautin tetap.

Empat pihak yang lain itu adalah ketua pengarah Jabatan Imigresen, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, ketua polis negara dan kerajaan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Azizah Nawawi menolak permohonan tersebut atas alasan Dr Zakir tidak dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan. Dia kini telah dinaikkan pangkat sebagai hakim di mahkamah rayuan.

Menerusi saman sivil yang difailkan pada 1 Mac 2017, Waythamoorthy dan 18 yang lain itu, yang terdiri daripada ahli politik, peguam dan ahli NGO, memohon perisytiharan mahkamah bahawa pendakwah kontroversi itu adalah ancaman kepada keharmonian kaum dan agama di negara ini dan harus ditangkap.

Mereka juga mendakwa Dr Zakir menggalakkan keganasan, dilarang memasuki beberapa negara kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas tertentu, dan telah menghasut warga asing di negara itu untuk mengganggu keamanan.

Perkasa, melalui presidennya Ibrahim Ali, adalah pencelah dalam tindakan undang-undang itu.

Semasa prosiding Mahkamah Rayuan hari ini, perayu-perayu turut diwakili peguam Gopal Sri Ram dan R Kengadharan.

Peguam kanan persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak kerajaan, manakala peguam Adnan Seman mewakili Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS