mk-logo
Berita
TI-M: Tangguh bayar kontraktor kapal LCS
Diterbitkan:  Aug 8, 2022 6:32 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Transparency International (TI-M) Malaysia menggesa kerajaan tidak membuat bayaran lanjut bagi projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam kenyataan, TI-M berkata pembayaran perlu ditangguhkan sehingga penghantaran kapal yang memenuhi spesifikasi kontrak dibuat dan setimpal dengan jumlah RM6.083 bilion yang dibayar sehingga kini.

Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sepatutnya menyiapkn lima buah kapal LCS untuk diserahkan pada bulan ini, namun tiada satu pun yang diterima.

Penghantaran pertama dijadual pada April 2019.

TI-M juga mengesyorkan agar kerajaan menyiasat semua kontraktor dan sub-kontraktor yang terlibat dalam projek itu, bersama-sama penjawat awam yang didapati cuai dalam melaksanakan tugas mereka berhubung projek berkenaan.

"(Kami mengesyorkan) kerajaan memulakan prosiding jenayah terhadap mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang di Malaysia, terutamanya sogokan, rasuah dan salah guna jawatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," kata TI- M.

TI-M mengulas penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang membuat kesimpulan bahawa BNS sedang membina enam kapal berdasarkan reka bentuk yang tidak dipersetujui oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

PAC juga menyimpulkan bahawa menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan lampu hijau terhadap cadangan BNS untuk menukar reka bentuk kapal berkenaan, walaupun dibantah oleh TLDM berulangkali.

Selain isu kelewatan, PAC mendapati bahawa BNS masih berhutang dengan lebih 600 pembekal untuk projek berkenaan.

TI-M menyatakan kehairanan bagaimana projek LCS dibelenggu begitu banyak masalah sedangkan terdapat banyak struktur tadbir urus dan audit dalam sektor awam bagi memastikan tadbir urus yang baik dan mencegah rasuah.

TI-M memberikan contoh pelbagai unit integriti, unit audit dalaman dan luaran, jawatankuasa integriti di peringkat menteri, Jawatankuasa Antirasuah (JAR) peringkat kebangsaan yang diketuai ketua setiausaha kerajaan dan Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Anti-Rasuah diketuai perdana menteri.

“Dengan adanya semua ini, bagaimana mungkin projek LCS yang bermula pada 2013 dibiarkan begitu lama menjadi kegagalan perolehan dan tadbir urus yang sangat besar?

"Bagaimana mungkin mereka secara bersama terlepas semua amaran urusniaga (red flag). Di manakah pengawasan, tadbir urus dan akauntabiliti?

"Atau adakah ia memang ghaib, sama seperti kapal yang sepatutnya dihantar," kata TI-M.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS