Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Nazmi ketuai PKR Kelantan, Terengganu
Diterbitkan:  Aug 7, 2022 9:15 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di Kelantan dan Terengganu.

Pengumuman itu dibuat Anwar melalui dua hantaran berasingan di media sosial hari ini.

Menurut Anwar, rundingan pelantikan Nik Nazmi yang juga ahli parlimen Setiawangsa itu dibuat bersama dengan semua ketua cabang dari kedua-dua negeri Pantai Timur itu dan dipersetujui sebulat suara oleh mereka.

Sementara itu, menerusi hantaran berbeza, Anwar turut mengumumkan pelantikan Amirudin Shari sebagai pengerusi MPN di Pahang.

Nama menteri besar Selangor itu dikemukakan Anwar dan turut mendapat persetujuan sebulat suara oleh ketua-ketua cabang di negeri itu.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dilantik sebagai pengerusi MPN Wilayah Persekutuan dan Johor.

Manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun pula dipilih mengetuai Negeri Sembilan dan Melaka.

Pengerusi MPN PKR di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak serta Sabah dan Sarawak masih belum diumumkan.

Ketua-ketua cabang PKR mempunyai kuasa untuk memilih ahli jawatankuasa PKR negeri, manakala ahli parti tidak boleh memilih pengerusi MPN.

Bagaimanapun, mengikut amalan, lantikan pengerusi MPN dibuat oleh presiden parti selepas berunding dengan ketua-ketua cabang.

Pengerusi MPN merupakan jawatan yang penting kerana mempunyai pengaruh bagi pemilihan calon pilihan raya dan merupakan calon bagi jawatan menteri besar atau ketua menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS