Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pagar besi Padang Merbok antara kaedah penjagaan - Datuk Bandar KL
Diterbitkan:  Aug 7, 2022 10:50 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Pemasangan pagar besi di sekeliling Padang Merbok di Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada kaedah penyelengaraan dan penjagaan padang di kawasan berkenaan bagi memastikan ia sentiasa dalam kondisi terbaik serta boleh digunakan secara optimum.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata penggunaan padang tanpa kawalan dan sistem teratur sebelum ini mengakibatkan kawasan hijau itu sering rosak, sekali gus menelan kos baik pulih dan naik taraf yang tinggi.

"Dengan pagar itu saya yakin penjagaan padang akan lebih sempurna dan terkawal, dan sesiapa saja boleh membuat booking (tempahan) untuk menggunakan padang.

"Orang nak masuk pun kita boleh uruskan dengan baik, ada giliran, kalau padang tu rosak kita tutup sekejap, baiki dan selenggara sebelum dibuka balik, saya rasa ia akan lebih terkawal dan terjamin," katanya kepada Bernama malam tadi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah.

Semalam (6 Ogos), media melaporkan dua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan mempersoal dan meminta penjelasan DBKL berkenaan tindakan mendirikan pagar berstruktur kekal setinggi sekitar lima kaki (1.5 meter) di sekeliling padang itu, dan menyifatkan perkara itu sebagai menghantar isyarat salah kepada warga kota.

Antara yang dipersoal termasuk pagar berkenaan dilihat menghalang warga kota menggunakan kemudahan awam untuk berekreasi selain menghalang daripada berkumpul sebelum berjalan ke bangunan parlimen bagi menghantar memorandum atau melalui protes.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata orang ramai masih dibenarkan menggunakan padang itu dengan kebenaran secara berjadual dan pendekatan serupa juga pernah dilaksanakan di beberapa kawasan lain bagi tujuan sama.

Tambahnya padang berkenaan yang juga mengalami isu saliran, masih menjalani kerja-kerja naik taraf dan belum dibuka kepada orang ramai.

Gambar fail, MP Segambut Hannah Yeoh dan MP Lembah Pantai Fahmi Fadzil di Padang Merbok.

Terdahulu Mahadi merasmikan Majlis Penutup dan Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau DBKL Home Cup 2022 di Stadium Kuala Lumpur.

Mahadi berkata kejohanan julung kali itu bertujuan menghidupkan aktiviti sukan di kawasan PA dan PR selain menjadi medium penduduk menonjolkan bakat bola sepak untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya program yang bermula 16 Julai lepas itu akan menjadi acara tahunan dan diharap dapat menarik minat golongan muda di kawasan berkenaan ke arah gaya hidup lebih positif.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS