Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | Kesultanan Melaka, Mat Kilau dan 1957: Hargai Kemerdekaan

ULASAN | Bulan Ogos setiap tahun merupakan bulan kemerdekaan sempena menyambut Hari Kebangsaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Tentunya bulan ini meriah dengan pelbagai acara.

Antaranya kibar jalur gemilang, majlis pidato, berbahas, pentomen, pertandingan melukis, riadah, sukaneka dan tidak kurang disulami dengan acara hiburan dengan lagu-lagu patriotik. Kesemuanya ini sebagai tanda rasa gembira dalam menyambut hari kemerdekaan.

Dalam pada itu, kita semua harus menyambut bulan kemerdekaan dengan budaya ilmu. Dengan budaya ilmu, kita dapat menggali, menyelidik dan menganalisis fakta-fakta sejarah berkaitan dengan proses kemerdekaan negara. Hal ini amat penting agar sambutan hari kemerdekaan tidak tersasar dari matlamat utamanya iaitu menghargai sumbangan tokoh-tokoh terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

Sejarah pembinaan negara Malaysia melibatkan suatu episod masa yang panjang. Hakikatnya peradaban politik Melayu telah diserlahkan dengan wujudnya kerajaan-kerajaan di alam Melayu, seperti Kesultanan-kesultanan di Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Borneo.

Tambahan pula, hampir kesemua kerajaan ini dibangunkan dan dilatari dengan kehebatan budaya Melayu yang ditunjangi oleh agama Islam serta didokong dengan kemampanan ekonomi perdagangan.

Justeru kesemua kerajaan dinamakan kerajaan Kelautan.

Kehebatan peradaban politik di alam Melayu dicemburui oleh golongan imperialis dari Eropah dan Timur. Mereka berusaha menguasai ekonomi, tanah jajahan, dan menyebarluaskan agama mereka, ringkasnya 3G.

Portugis mula menjajah Melaka 1511, British menduduki negeri-negeri Selat 1826, Belanda menguasai Melaka 1641 dan Jepun menjajah 1941. Kesemua ini memberi implikasi yang besar kepada peradaban politik di Tanah Melayu.

Siri-siri penjajahan ini menyebabkan wujudnya gerakan kebangkitan orang Melayu menentang penjajah. Fenomena ini digambarkan dengan kekuatan kepahlawanan Melayu yang sanggup berdepan dengan tentera Portugis yang lengkap bersenjata.

Semasa penjajahan British, kebangkitan para pejuang Melayu semakin terserlah. Biarpun tiada kesatuan dalam gerakan di negeri-negeri, mereka bangkit dengan gagah dan berani untuk mendepani kehadiran musuh.

Dalam fikiran mereka hanya satu, memastikan kedaulatan negara ini dapat dipertahankan.

Justeru itulah wujudnya kebangkitan pejuang Melayu di seluruh negara termasuk di Naning, Perak, Sungai Ujong, Kuala Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor. Gerakan kebangkitan turut berlaku di Sabah dan Sarawak pada awal penjajahan British. Namun begitu, kesemua gerakan kebangkitan berakhir dengan kekalahan dalam kalangan pejuang tanah air.

Hakikatnya, gerakan kebangkitan Melayu sangat digeruni oleh penjajah. Kehadiran penjajah disambut dengan perjuangan darah, keringat dan air mata.

Gerakan kebangkitan inilah yang sepatutnya menjadikan rakyat Malaysia insaf dengan pengorbanan yang bukan kepalang dalam kalangan para pejuang tanah air.

Justeru, filem Mat Kilau yang viral masa kini bukan sekadar hiburan. Ini merupakan cerminan kesungguhan para pejuang kemerdekaan.

Pada masa yang sama, kita perlu mengambil pengajaran bahawa perpecahan dalam kalangan rakyat membolehkan penjajah mudah mengeksploitasi tanah jajahan dan hasil bumi Tanah Melayu. Hanya muafakat dan perpaduan yang kukuh disertakan amalan kehidupan beragama mampu menjadi benteng untuk mencegah kemasukan penjajah di tanah air yang tercinta ini.

Dalam ilmu sejarah, ditegaskan bahawa sejarah mencatatkan kebenaran. Pada awal abad ke-20, perjuangan menuntut kemerdekaan diteruskan oleh golongan ulama. Mereka bekerja keras menyeru orang Melayu berusaha dengan kekuatan ilmu untuk menentang penjajah.

Golongan guru turut menyertai gerakan menentang penjajah British yang diterajui Ibrahim Haji Yaacob. Akhirnya, golongan berpendidikan Inggeris juga tidak ketinggalan menentang British, biarkan dengan cara yang sederhana.

Penglibatan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua menyaksikan sekali lagi Tanah Melayu bermandi darah. Para pejuang kemerdekaan berusaha mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman musuh. Dasar penjajahan Jepun turut menyebabkan ramai rakyat yang terkorban dan ekonomi negara dimusnahkan. Kesemua ini menuntut penghayatan sejarah dalam kalangan generasi muda agar menghargai pejuang kemerdekaan.

Era 1946 hingga 1957 menyaksikan usaha secara berterusan untuk memperjuangkan kemerdekaan negara. Gerakan ini melibatkan banyak parti dan persatuan. Justeru ada pejuang kemerdekaan yang dilabelkan sebagai golongan kanan dan golongan kiri.

Pada hemat saya, itu adalah strategi British untuk memecahkan perpaduan dalam kalangan pejuang Melayu. Hakikatnya semua pihak memainkan peranan yang penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, kecuali Parti Komunis Malaya.

Ini disebabkan strategi PKM untuk memperluaskan ideologinya di Tanah Melayu. Ada pihak yang mengikuti golongan kiri kerana lebih mendapat tempat dan diberi peranan memimpin. Tak kurang juga yang terkeliru dek kerana terlalu kecewa dengan sikap British yang agresif serta pilih bulu.

Sesungguhnya terlalu ramai tokoh pejuang yang boleh diketengahkan untuk dihargai oleh rakyat Malaysia. Mereka berkorban apa sahaja demi kemerdekaan. Antaranya Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Abdul Rahman Yassin, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestaman Zulkifli Muhammad, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan ramai lagi. Biarpun pendekatan para pemimpin agak berbeza, namun niatnya sama iaitu, Tanah Melayu yang merdeka.

Dalam pada itu, kita jangan pula melupakan tokoh-tokoh nasional yang turut menyumbang kepada mengisi agenda kemerdekaan negara. Mereka berusaha untuk menyempurnakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi. Gabungan kepimpinan politik dan profesional telah meletakkan Malaysia dalam era pembangunan yang gemilang.

Justeru, nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Asri Haji Muda, Profesor Ungku Omar, Profesor Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Ghazali Shafie, Tan Sri Hamzah Sendut, Tan Sri Rashdan Baba, Tan Sri Ainuddin Wahid, Aminuddin Baki, dan ramai lagi turut terlibat untuk mengisi agenda kemerdekaan negara.

Suatu episod sejarah merdeka yang paling menarik apabila Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan tanah air di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pagi tanggal 31 Ogos 1957.

Ramai para pemimpin turut hadir, termasuklah dalam kalangan Raja-raja Melayu. Rakyat yang memenuhi ruang stadium pula menangis gembira apabila teriakan merdeka dikumandangkan. Dalam pada itu, jangan dilupakan tokoh-tokoh agama yang melatari kemerdekaan negara seperti Syeikh Abdullah Fahim (ahli falak), Mufti Negeri Sembilan (pembaca doa) dan Ustaz Hassan Azhari (tukang azan).

Sebagai kesimpulannya, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan. Marilah kita zahirkan penghargaan kita yang setinggi-tingginya kepada tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan.

Hakikatnya, para pejuang telah berkorban apa sahaja demi kemerdekaan, natijahnya kita pula mendapat pelbagai nikmat hasil kemerdekaan negara. Kepada para pejuang, kita hadiahkan Al-Fatihah!


HASANUDIN YUNUS ialah ahli parlimen Hulu Langat

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS