mk-logo
Berita
'Tak wajar tuding kegagalan perolehan kapal tempur LCS pada saya'
Diterbitkan:  Aug 7, 2022 8:27 AM
Dikemaskini: 1:24 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah tidak wajar untuk menyandarkan kegagalan perolehan kapal tempur pantai (LCS) kepadanya kerana mendakwa dia bukan menteri pertahanan ketika projek itu diberikan.

Justeru, dia berkata mereka yang terlibat dalam kegagalan perolehan LCS perlu menjelaskan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Saya memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013.

“Jadi mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC.

“(Ia bagi) menyokong penuh pendedahan kelewatan ini,” katanya seperti dilapor Umno Online semalam.

Perolehan enam kapal tempur LCS itu telah diluluskan oleh Putrajaya pada awal 2011 berikutan permintaan yang dibuat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pada akhir 2011, kontrak RM9 bilion telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd secara terus tanpa tender terbuka.

Kontrak itu berkuat kuasa pada 3 Oktober 2013, dan akan tamat pada 2 Oktober tahun depan.

Zahid juga menjelaskan kapal-kapal itu sedang dibina oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), anak syarikat Boustead Holdings Bhd, yang mana pemegang saham terbesarnya ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Merujuk laporan audit dari PAC, kontrak kepada Boustead adalah mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17 April 2002.

“Secara jelas ia tiada kaitan dengan saya, malah LTAT sendiri menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan LCS itu,” katanya.

Kata Zahid lagi, dia sedia memberikan keterangan dan penjelasan kepada PAC.

Pada 4 Ogos, Pengerusi PAC Wong Kah Woh (gambar, atas) mengeluarkan kenyataan mengenai penemuan jawatankuasa itu, yang meneliti pengendalian projek LCS.

Laporan itu mendedahkan walaupun tiada satu pun kapal yang siap, Putrajaya sudah membayar RM6 bilion.

LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi hanya 44 peratus siap, menurut laporan PAC.

Laporan itu juga mengatakan pandangan panglima TLDM tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan Boustead.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini mendakwa siasatan dalaman juga menunjukkan sekurang-kurangnya RM890 juta telah diselewengkan daripada projek itu akibat penipuan, pertindihan kontrak, dan pelbagai penyelewengan lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS