Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agensi pekerja swasta boleh terus kutip fi dari pekerja, majikan- Menteri

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata agensi pekerjaan swasta (APS) berlesen dibenarkan untuk mengenakan fi kepada majikan, pencari kerja tempatan atau pekerja bukan warganegara.

Katanya, ini selepas banyak pihak keliru dengan tangkapan dua individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu berkaitan agensi pengambilan pekerja swasta.

"Saya terima banyak panggilan selepas penahanan tersebut. Mereka keliru apakah agensi pengambilan pekerja swasta tidak boleh lagi kutip fi daripada majikan dan pekerja.

"Saya ingin menjelaskan bahawa Agensi Pekerja Swasta (APS) boleh kutip fi daripada pekerja dan majikan seperti biasa," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) yang dikuatkuasakan oleh kementerian ini melalui Jabatan Tenaga Kerja merupakan suatu akta bagi mengawal agensi pekerjaan swasta (APS) di Malaysia.

"Melalui Akta ini, pemegang lesen dibenarkan untuk mengenakan fi kepada mana-mana pencari kerja tempatan untuk semua kategori pekerjaan sama ada untuk bekerja di dalam atau di luar Malaysia.

"Fi penempatan boleh dikenakan sama ada kepada majikan, pencari kerja tempatan atau pekerja bukan warganegara," katanya.

Bagaimanapun, dia menegaskan sekiranya agensi berlesen ini terlibat dalam sebarang salah laku termasuk rasuah maka tindakan keras akan diambil.

Untuk rekod, pada Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua suspek lelaki berusia lingkungan 30an dan 50an, yang masing-masing merupakan ahli perniagaan dan pemilik syarikat agensi pekerjaan.

Sumber berkata, ahli perniagaan tersebut disiasat berhubung penerimaan wang rasuah berjumlah lebih RM1 juta daripada ejen pekerjaan manakala seorang lagi suspek disyaki membayar rasuah kepada syarikat penyedia platform bagi permohonan pekerja asing.

Penahanan itu dibuat susulan penahanan enam suspek termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), pegawai kanan syarikat itu dan empat yang lain daripada agensi pengambilan pekerja.

Sementara itu, Saravanan berkata amalan mengenakan fi ini digunakan sejak dulu.

"Ia sudah dikenakan sebelum saya menjadi menteri. Bukan perkara baru. Namun, kementerian di bawah saya telah memperbaiki beberapa kelemahan sebelum ini.

"Namun sebarang unsur rasuah melibatkan agensi-agensi ini akan dikenakan tindakan daripada jabatan-jabatan berkaitan," katanya.

Katanya, APS boleh mengenakan fi penempatan tidak lebih 25 peratus daripada gaji pokok bulanan pertama pekerja tempatan dan tidak lebih daripada satu bulan gaji pokok bulan pertama pekerja bukan warganegara.

"Mana-mana APS yang mengenakan fi melebihi kadar yang ditetapkan ini, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

"Selain itu, Akta ini juga mewajibkan mana-mana orang yang menjalankan aktiviti merekrut wajib berlesen dan kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS