Kenyataan terbaru Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menimbulkan rasa curiga pemimpin Bersatu.
Semasa konvensyen BN Selangor pada hujung minggu lalu, Zahid memetik Pengerusi BN Selangor Noh Omar yang berkata Zafrul akan "bawa gula".
"Saya ingin ingatkan Zafrul. Jangan ambil kesempatan. Ambillah mana-mana yang sempat," kata Zahid, sambil tersenyum.
Zafrul baru-baru ini dilantik sebagai bendahari BN Selangor dan dispekulasi akan bertanding di Kuala Selangor.
Bagi Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, kenyataan Zahid itu, selain kenyataan serupa yang dibuat oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada majlis sama, menunjukkan bahawa "budaya rasuah" Umno sudah kembali.
"Ini adalah budaya Umno dan mereka dipimpin oleh seorang presiden yang menghadapi pelbagai perbicaraan jenayah," katanya.
Dalam ucapan Ismail Sabri pada Konvensyen BN Selangor, dia berkata Noh Omar dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membantu Umno memenangi semula Selangor.
"“Untuk Selangor, Insya Allah ‘minyak’ jangan bimbang.. tak pernah waktu PRU sebelum ini seperti di Kota Raja, Sungai Kandis, Seri Setia, walau kita pembangkang… walau tak banyak minyak…kita ada juga minyak. Ini dah jadi kerajaan, tentulah banyak minyak,” kata Ismail Sabri.
"Apabila kita berada dalam kerajaan, kita boleh melakukan banyak perkara untuk rakan-rakan kita. Umno tahu apa yang saya lakukan. Saya tidak perlu menyatakannya secara terperinci kerana media ada di belakang," katanya.
Wan Saiful berkata adalah mengejutkan bahawa Zafrul kini sehaluan dengan "kleptokrat" selepas dua tahun diberikan platform politik oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Jelas Wan Saiful, Bersatu telah mempertahankan Zafrul apabila dasarnya sebagai menteri kewangan dikritik Umno.
"Adakah Zafrul bangga kerana dia dipergunakan untuk membawa 'minyak' dan 'gula' untuk Umno?" soal Wan Saiful.