Cubaan dua pemuda untuk menyamun sebuah kedai runcit membawa padah apabila dia diberkas dalam kejadian di Berek 12, Kota Bharu, kira-kira jam 3 petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata seorang daripada suspek berusia 20 tahun dan cuba menyamun bersama sebilah parang sebagai senjata.
Pada awalnya, kata Mohd Rosdi, seorang daripada pemuda terbabit berpura-pura untuk membeli di kedai runcit milik warganegara Pakistan itu.
"Ketika itu mangsa berseorangan di kaunter kedai, manakala isteri dan anak anak-anak mangsa berada di bahagian rumah di belakang kedai.
"Suspek bersenjatakan sebilah parang masuk ke kedai dan berpura-pura ingin membeli barangan namun kemudian mengeluarkan parang dan mengacukannya kepada mangsa.
"Namun mangsa bertindak melawan dan berjaya menangkap salah seorang suspek," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Mohd Rosdi berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku cuba melakukan samun di kedai runcit milik mangsa bersama rakannya yang dikenali dengan panggilan Afiq.
Rakan suspek yang diberkas itu, katanya, segera melarikan diri menaiki motokar Perodua Myvi warna biru selepas menyedari rakannya kena cekup.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan. Usaha mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas dijalankan," katanya.
Menurut Mohd Rosdi, suspek yang ditahan mengalami cedera di bahu kiri dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu.
Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.