Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan untuk cukai jualan barang import nilai rendah diluluskan di Dewan Rakyat

Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan (Pindaan) 2022 yang bertujuan mengenakan cukai jualan 10 peratus ke atas semua berangan bernilai rendah import yang dijual secara dalam talian, diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika pembentangan untuk bacaan kedua hari ini, Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan memperkenalkan pindaan ini dengan tujuan mewujudkan persaingan setara antara penjual tempatan dan luar negara.

Namun, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng mempersoalkan langkah memperkenalkan cukai baru untuk tujuan itu, memandangkan ia akan menambahkan beban kepada rakyat di saat peningkatan inflasi.

Katanya, lebih wajar untuk kerajaan memberikan pengecualian cukai jualan kepada penjual tempatan jika ingin membantu mereka agar lebih kompetitif.

Walaupun bersetuju untuk mewujudkan persaingan setara antara penjual tempatan dan luar negara, Lim berkata dia berharap ia tidak dilakukan dengan menambah beban kepada pengguna yang akhirnya perlu membayar lebih.

"Apa jadi dengan kerajaan yang kata 'kita nak beri subsidi?' Ini bukan beri subsidi, ini tambah beban.

"Bukankah lebih wajar dan munasabah untuk kecualikan cukai jualan 10 peratus kepada penjual tempatan?" soalnya ketika ucapan penggulungan Mohd Shahar untuk RUU itu hari ini.

Kata Lim lagi, kerajaan sepatutnya mengenakan cukai kepada golongan yang mampu, bukannya kepada mereka yang sedia bergelut.

Dia juga bertanya tentang jangkaan perolehan cukai daripada cukai baru ini.

Menjawab persoalan itu, Shahar berkata hasrat kerajaan adalah untuk melindungi peniaga tempatan dan mengukuhkan pasaran tempatan.

Dia berkata sebanyak RM200 juta setahun dijangka akan dikutip daripada cukai tersebut.

"Apabila kita kukuhkan pasaran tempatan, pastinya wang kita tidak mengalir keluar (dari negara)...(justeru) kedudukan fiskal negara juga bertambah kuat. Ini antara hasrat kita," katanya lagi.

RUU itu diluluskan menerusi undi suara dan akan dihantar ke Dewan Negara.

Apabila dilluskan nanti, cukai baru ini dijangka berkuat kuasa 1 Januari 2023 dengan kadar tetap 10 peratus terhadap pejual tempatan dan luar negara yang menjual berangan bernilai rendah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS