Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bagaimana Malaysia berhutang RM67 bilion kepada waris sultan Sulu

Malaysia sedang tergesa-gesa berusaha untuk melindungi asetnya ketika keturunan sultan terakhir wilayah terpencil Filipina, Sulu ingin menguatkuasakan anugerah timbang tara sebanyak AS$15 bilion (RM67 bilion) dalam pertikaian berhubung perjanjian tanah era penjajah.

Pada tahun 1878, dua penjajah Eropah menandatangani perjanjian dengan sultan Sulu untuk penggunan tanah baginda di sebahagian wilayah yang hari ini dikenali sebagai Malaysia - perjanjian yang dipegang sehingga 2013 - membayar waris sultan itu kira-kira $1,000 (kira-kira RM5,000) setahun.

Kini, 144 tahun kemudian selepas perjanjian asal, Malaysia menjadi tumpuan berhubung anugerah timbang tara kedua terbesar dalam rekod kerana menghentikan pembayaran selepas pencerobohan berdarah oleh penyokong waris Sultan Mohammed Jamalul Alam yang mengakibatkan lebih 50 orang terbunuh.

"Ia adalah kes yang menarik dan luar biasa," kata peguam Paul Cohen, ketua peguam bela bagi waris sultan dari firma guaman Britain 4-5 Gray's Inn Square.

Selama bertahun-tahun, Malaysia menolak tuntutan itu tetapi pada Julai, dua anak syarikat firma tenaga negara, Petronas yang berpangkalan di Luxembourg dilayangkan notis rampasan untuk menguatkuasakan anugerah yang dimenangi oleh waris sultan itu pada Februari.

Keputusan timbang tara di Perancis itu adalah susulan perbicaraan selama lapan tahun oleh waris berkenaan dan dana $20 juta yang dikumpul untuk mereka daripada pelabur pihak ketiga yang tidak dikenali, menurut wawancara dengan tokoh utama dalam kes ini dan dokumen undang-undang yang dilihat oleh Reuters.

Kelas pertengahan

Malaysia tidak mengambil bahagian atau pun mengiktiraf timbang tara itu - membolehkan waris tersebut mengemukakan kes mereka tanpa sebarang bantahan atau sanggahan - walaupun diberi amaran bahawa adalah berbahaya untuk mengabaikan proses berkenaan.

Mereka yang membuat tuntutan berkenaan, termasuk beberapa pesara, adalah warga Filipina yang menjalani kehidupan sebagai kelas pertengahan, jauh berbeza berbanding kehidupan mewah nenek moyang mereka daripada kesultanan Sulu yang pernah memiliki pulau-pulau di selatan Filipina dan sebahagian wilayah di pulau Borneo.

Waris berkenaan berhujah bahawa perjanjian abad ke-19 adalah pajakan komersial, - atas sebab itulah mereka memilih timbang tara.

Mereka juga menuntut pampasan untuk rizab tenaga yang ditemui di wilayah yang mereka tinggalkan di negeri Sabah di Malaysia.

Putrajaya mempertikaikan kenyataan itu, dengan dalil bahawa kesultanan Sulu telah menyerahkan kedaulatan mereka, maka timbang tara adalah tidak sah.

"Timbang tara itu adalah fiksyen canggih, terselindung sebagai proses undang-undang," kata Uria Menendez, firma guaman Sepanyol yang mewakili Malaysia, kepada Reuters.

Malaysia berjaya mendapatkan perintah penangguhan di mahkamah di Perancis sementara menunggu rayuan - proses yang boleh mengambil masa bertahun-tahun - tetapi anugerah itu tetap boleh dikuatkuasakan secara global di bawah konvensyen PBB mengenai timbang tara.

'Sultan termiskin'

Malaysia menghormati perjanjian era penjajah tersebut sehingga 2013, apabila penyokong allahyarham Jamalul Kiram III, yang mendakwa sebagai sultan Sulu yang sah, cuba untuk menuntut semula Sabah.

Pertempuran tercetus apabila kira-kira 200 penyokong tiba dengan bot dari Filipina dan berlarutan hampir sebulan.

Kiram, yang mendakwa sebagai "sultan termiskin di dunia", bukanlah salah seorang daripada waris yang diiktiraf mahkamah yang menerima bayaran dari Malaysia.

Lapan penuntut dalam timbang tara - termasuk anak perempuan dan sepupu Kiram - yang menerima bayaran tahunan membidas serangan itu.

Sehingga pencerobohan berkenaanu, kedutaan Malaysia di Manila menulis cek kepada pihak yang menuntut setiap tahun untuk "cession money" atau “wang pemisahan”, menurut cek dan surat-menyurat daripada kedutaan kepada waris dan dikongsi bersama Reuters oleh peguam waris.

Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Najib Razak, memberitahu Reuters bahawa dia telah menghentikan pembayaran kerana kemarahan orang ramai terhadap pencerobohan tersebut, mengakui sebabnya secara terbuka buat kali pertama.

"Saya merasakan adalah tugas dan tanggungjawab saya untuk melindungi kedaulatan Sabah dan rakyat Sabah," katanya, sambil menambah dia tidak menjangkakan tindakan undang-undang.

Pihak yang menuntut, melalui peguam mereka, enggan diwawancara.

Ada dalang pihak ketiga

Cohen, peguam waris berkenaan, pertama kali mendengar tuntutan mereka daripada seorang pakar minyak dan gas semasa pemeriksaan balas pada 2014 dalam satu kes mahkamah yang tidak berkaitan.

Mengetahui mereka itu tidak mempunyai kemampuan kewangan, Cohen pada 2016 membawa Therium, firma British yang membiayai tindakan undang-undang dengan mengumpul wang daripada pelabur institusi, termasuk dana kekayaan negara.

Therium menjalankan sembilan pusingan pembiayaan untuk kes itu, dengan pelabur pihak ketiga berulang kali menilai meritnya, kata Elisabeth Mason, ketua peguam bela bagi pihak yang menuntut dengan 4-5 Gray's Inn Square.

Kes itu menelan belanja lebih $20 juta, termasuk peguam dan penyelidik di lapan bidang kuasa, katanya.

"Pelabur tidak melabur jumlah yang kecil dalam perkara sebegini," katanya.

Therium berkata ia akan terus membiayai usaha untuk menguatkuasakan anugerah itu. Ia enggan memberikan butiran.

Menurut kenyataan award itu, waris memaklumkan hasrat mereka untuk memulakan timbang tara pada 2017 di Sepanyol dan pada mulanya meminta pampasan $32.2 bilion (RM140 bilion).

AG buat tawaran

Maklum balas pertama Malaysia dibuat pada 2019 apabila peguam negara ketika itu, Tommy Thomas ketika itu menawarkan untuk menyambung semula pembayaran tahunan dan bayaran tertunggak RM48,000 serta faedah jika timbang tara digugurkan.

Thomas percaya tuntutan itu "tidak masuk akal dan mengarut" tetapi membuat tawaran tersebut selepas rakan-rakan sekerja menasihatinya bahawa adalah "berbahaya" untuk mengabaikan timbang tara kerana aset asing Malaysia mungkin berisiko, tulisnya dalam memoir 2021.

Waris sultan Sulu menolak tawaran Thomas dan timbang tara diteruskan tanpa kehadiran Malaysia.

Malaysia berjaya mencabar pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara tunggal di mahkamah Sepanyol tahun lepas.

Tetapi Stampa berhujah dalam kenyataan anugerahnya bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas timbang tara, dan memindahkan kes itu ke Perancis untuk mendapatkan anugerah- tindakan yang menurut Malaysia adalah menyalahi undang-undang.

Stampa kini menghadapi prosiding jenayah di Sepanyol berikutan aduan yang difailkan oleh Malaysia. Dia enggan memberikan sebarang ulasan kepada Reuters.

[Baca berita asal]

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS