Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki didakwa pecahkan cermin kereta, ugut wanita

Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan memecahkan cermin kereta dan melakukan ugutan terhadap seorang wanita di persimpangan lampu isyarat di Kubang Kerian, Khamis lalu.

Mohd Nasir Husain, 45, membuat pengakuan itu dan memohon agar dia dibicarakan sebaik pertuduhan dibaca di hadapan majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Dalam pertuduhan pertama, Mohd Nasir dituduh mendatangkan ketakutan kepada Wan Nur Athirah Wan Kamal, 35, dengan cara mengetuk cermin kenderaan mangsa menggunakan senjata tajam iaitu scapper hingga berlubang dan retak hingga mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.

Pertuduhan kedua pula, kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu didakwa melakukan khianat terhadap harta milik mangsa yang sama dengan memecahkan cermin kereta jenis Perodua Axia menyebabkan mangsa kerugian RM300.

Kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di persimpangan lampu isyarat Limbat, Kubang Kerian, Kota Bharu, kira-kira jam 5.45 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman minima satu tahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan timbalan pendakwaraya Siti Erdabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan, Ariyani Mohd Aamin.

Terdahulu, Siti Erdabayu memohon jaminan setimpal dikenakan terhadap tertuduh, manakala Ariayani memohon jaminan minimum memandangkan tertuduh seorang penjawat awam berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan tarikh 15 Sept ditetapkan untuk sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS