Eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli hari ini berkata dakwaan yang dibuatnya di media pada 2018 berhubung menerima tekanan daripada individu yang ada kaitan dengan BN adalah satu pembohongan.

Memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Zarul berkata dia mengubah nadanya ekoran siasatan SPRM terhadapnya berhubung kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang berjumlah RM6.3 bilion.

Dia yang menjadi saksi pendakwaan ke-23 kes rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, merujuk wawancaranya dengan beberapa media pada Julai 2018.

Pada 2 Julai tahun itu, Malaysiakini melaporkan yang Zarul mendakwa dia ditekan untuk membayar RM22 juta bagi menghentikan siasatan SPRM terhadap projek itu.

Ketika itu, dia mendawa ugutan itu dibuat pihak yang mempunyai kaitan dengan pentadbiran yang lalu, yang difahami merujuk kepada kerajaan BN sebelum PRU 2018.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Gobind Singh Deo hari ini, Zarul mendakwa dia membuat kenyataan pada 2018 itu atas tujuan melindungi sebarang urusannya dengan Lim.

"Jika tiada siasatan SPRM, saya tak akan babitkan Lim Guan Eng langsung," dakwanya lagi.

Soalan-soalan Gobind hari ini bertumpu kepada Zarul yang merujuk wawancaranya yang disiarkan portal Free Malaysia Today pada 2018.

Gobind: Anda kata anda berbohong dalam sidang media (2018)?

Zarul: Ya.

Gobind: Anda berbohong kepada wartawan?

Zarul: Ya

Gobind: Anda berbohong kepada rakyat Pulau Pinang?

Zarul: Ya.

Gobind: Anda berbohong kepada kerajaan negeri?

Zarul: Ya.

Gobind: Anda bukan saja pesalah (convict) tetapi seorang yang sedia untuk berbohong?

Zarul: Saya tak setuju. Saya tak ada peluang untuk beri penjelasan.

Gobind merujuk pengakuan Zarul dalam keterangannya, berhubung sabitan dan hukuman penjara sehari berhubung satu kes mahkamah melibatkan Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) pada 1994.

Ketika itu, dia menjadi pengurus besar jabatan hal ehwal korporat Rakyat Merchant Bankers Bhd.

Terus disoal Gobind, Zarul menafikan dakwaan berhubung keterangan yang diberikannya kepada SPRM yang dikatakan deterbitkan oleh Malaysia Today pada April 2019.

Dalam keterangan saksi bertulis sebelum ini, dia merujuk artikel di Malaysia Today yang mendakwa peguam negara ketika itu telah menutup kes tersebut.

Prosiding di depan hakim Azura Alwi bersambung esok.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS