Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
BELASUNGKAWA | Khalid Ibrahim: Bila lawan jadi kawan

Saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan kenalan mantan menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim yang meninggal dunia pada 31 Julai 2022. Bagi saya, Khalid Ibrahim adalah MB terbaik Pakatan Rakyat. Beliau membawa pelbagai idea baru yang sebelum ini tidak dicuba. Antara idea-idea aslinya adalah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan pelbagai program kebajikan untuk anak Selangor, warga emas dan ibu tunggal.

Beliau tidak disukai oleh sesetengah pihak kerana tidak mahu menggunakan dana negeri untuk kerja-kerja politik. Sebaik menjadi MB, beliau menasihatkan untuk orang membuat pilihan sama ada mereka nak jadi ahli perniagaan atau nak jadi ahli politik. Jangan campur adukkan kedua-duanya. Pandangan ini mungkin disebabkan beliau sudah pun menjadi jutawan sebelum menjadi ahli politik. Untuk ramai ahli politik lain pula, mereka menjadi jutawan setelah menjadi ahli politik.

Namun pengiktirafan positif dan pujian saya terhadap Tan Sri tidak datang begitu sahaja, ia melalui satu proses peralihan zaman yang lama. Saya dengan sejujurnya ingin mencatatkan pengalaman bertembung dan berinteraksi dengan insan bernama Khalid Ibrahim dan bagaimana Khalid–lawan saya pada awalnya–akhirnya menjadi kawan.

Face to Face

Debat pertama saya dengan Khalid berlaku di TV3 dalam rencana Ingeris bertajuk Face to Face. Khalid Ibrahim pada masa itu CEO Guthrie yang mewakili kepentingan kaum kapitalis pemilik ladang manakala saya pula mewakili kepentingan kaum pekerja estet, pekerja ladang. 

Anchor untuk program ini adalah allahyarham Mahadzir Lokman. Dalam debat itu, Khalid begitu angkuh dengan pencapaian syarikat perladangan manakala saya mencetuskan kontradiksi mengenai kaum pekerja yang dibayar gaji yang rendah dan hidup dalam serba kekurangan.

Namun demikian, saya melihat TV3 lebih banyak memberi ruang dan muka kepada Tan Sri. Setiap kali saya cuba menyerang Tan Sri mengenai kegagalan syarikat perladangan, Mahadzir Lokman dengan penuh kelincahan akan hentikan program untuk laluan iklan. 

Saya pernah dalam rencana itu berkata, Tan Sri kena turun dari helikopter untuk melihat kesengsaraan rakyat. 

Pengusiran pekerja Ladang Bukit Jelutong

Pada 26 Jun 2002,  saya dengan mata sendiri melihat kerakusan pihak Guthrie merobohkan rumah pekerja-pekerja ladang di ladang Bukit Jelutong. Dalam insiden tersebut, pekerja ladang diberikan notis kurang 24 jam. Operasi haram ini dijalankan dengan kerjasama MBSA dan Guthrie. Walaupun ia adalah tanah swasta, tetapi gergasi Ladang - Guthrie dapat menggunakan khidmat kerajaan tempatan untuk melakukan perobohan rumah pekerja-pekerja ladang. 

Guthrie juga biasa mengadakan majlis makan-makan dengan kakitangan-kakitangan kerajaan. Inilah kerjasama intim antara kerajaan tempatan dan pihak swasta untuk agenda mengusir rakyat miskin di Negeri Selangor.

Pada hari rumah pekerja-pekerja ini dirobohkan, saya melihat Khalid berada di lokasi kejadian bersama dengan MBSA, polis dan lain-lain. Begitu kebal pengaruh dan kuasa mereka. Rumah tiga generasi pekerja ladang diroboh begitu sahaja tanpa melalui proses perundangan yang sahih. 

Kami juga hairan melihat  orang berpangkat begitu tinggi akan turun untuk memastikan operasi perobohan dan pengusiran berlaku dengan berjaya. Beliau juga datang ke sana bukan dengan kereta tetapi helikopter.

Namun, kami tidak berputus asa. Kami membina balik rumah yang roboh dan memulakan satu perlawanan balik yang cukup kuat. Pada masa itu, Musa Hitam baru menjadi pengerusi Guthie. Beliau baru sahaja bersara sebagai pengerusi Suhakam manakala Khalid Ibrahim adalah CEO Guthrie. 

Musa Hitam

Kami menyasarkan tekanan terhadap Musa Hitam yang dilihat orang lebih senang didampingi berbanding dengan Khalid. Kami membuat  beberapa demonstrasi di hadapan pejabat peribadi Musa Hitam di bangunan Citibank, Jalan  Ampang, Kuala Lumpur. Kami melihat Musa Hitam lebih senang dibawa berunding berbanding Khalid yang kami anggap keras kepala dan langsung tidak berhati perut.

Akhirnya niat kami mendapat perhatian. Satu mesyuarat dipanggil di pejabat Guthrie yang dipengerusikan oleh Musa Hitam. Turut hadir adalah Khalid.  Mesyuarat diadakan pada 7 April 2003. Dalam dialog tersebut, Musa berkata Guthrie mempunyai tempat yang begitu luas dan para pekerja boleh berdemonstrasi secara bebas. Tempatnya luas berbanding dengan pejabatnya di tempat yang sibuk di Jalan Ampang. 

Namun ternyata, tunjuk perasaan pekerja di hadapan pejabatnya di Jalan Ampang sememangnya meninggalkan impak yang membuahkan kejayaan sehingga mesyuarat diadakan pada hari tersebut.

Mesyuarat dikoordinasi dengan bagus sekali oleh Musa Hitam. Dia mendengar segala yang dicerita oleh wakil penduduk malah menegur orangnya sendiri termasuk Khalid.  Pada masa itu Khalid bergelar Datuk dan sebagai CEO Guthrie, dia memang sangat marah apabila kami menuduh Guthrie sebagai maha pembuli. Khalid mula berkata bahawa pemegang saham Guthrie adalah petani-petani dan nelayan-nelayan miskin. Oleh itu bila kita buat tuntutan, sememangnya kita rompak dari orang miskin. 

Komen Khalid ini telah membuat kami semua ketawa besar. Kita semua tahu siapa Guthrie dan kepentingan siapa yang mereka wakili. Inilah perwatakan Khalid yang saya kenali pada awal pertembungan ini.

Mesyuarat yang dipengerusi ini berakhir dengan Guthrie akhirnya bersetuju membina rumah alternatif untuk pekerja ladang di kawasan berhampiran. Sepanjang mesyuarat Khalid langsung tidak setuju keuntungan Syarikat Guthrie diguna untuk membina perumahan untuk pekerja ladang.

Kampung Berembang

Kampung Berembang mungkin titik peralihan hubungan Khalid dari lawan menjadi kawan. Peralihan posisi ini anehnya berlaku kerana satu lagi operasi perobohan rumah rakyat miskin di Kampung Berembang. 

Antara tahun 2006 dan 2007, satu pertikaian tanah dan pertempuran besar berlaku di Kampung  Berembang Ampang. Kampung Berembang menarik perhatian umum apabila pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan bantuan polis dan Rela melancarkan operasi merobohkan  rumah di kampung itu pada 17 November 2006. 

Kerja-kerja perobohan itu diteruskan pada 20 dan 30 November tahun yang sama. Ramai aktivis yang mempertahankan rumah-rumah dan surau di kampung Berembang turut ditahan termasuk saya.

Pemaju dalam projek ini mempunyai hubungan kuat dengan Umno dan Menteri besar Selangor pada masa itu Khir Toyo mengarahkan rumah-rumah di kampung ini diroboh walaupun perdana menteri pada masa itu Abdullah Ahmad Badawi merayu supaya ia ditangguhkan. Ini adalah penderhakaan  besar Umno terhadap rakyat miskin Melayu. 

Setelah kami ditahan polis, kami dimaklumkan bahawa bendahari PKR pada masa itu Khalid Ibrahim akan menanggung semua kos jamin. Beliau juga menghulurkan bantuan kepada  peneroka di sana dengan bantuan khemah dan sebagainya. Maka inilah titik perubahan. Khalid yang biasa berada bersama pihak yang merobohkan rumah kini pula berdiri bersama kami – pihak yang menjadi mangsa perobohan rumah.

Peneroka Berembang dapat rumah percuma semasa Khalid jadi MB

Satu daripada kejayaan besar perjuangan Kampung Berembang adalah apabila Peneroka berjaya mendapatkan rumah percuma. Mereka memiliki pangsapuri di kawasan yang  nilai tanah yang begitu tinggi pada masa itu. Setiap pangsupuri kos rendah mereka boleh dijual lebih RM350,000 dengan mudah pada masa itu kerana nilai tanahnya yang tinggi. 

Namun pada awalnya, pemaju begitu perlahan untuk membina perumahan alternatif ini. Penduduk pula masih menetap di khemah dan rumah usang yang dibina balik setelah diroboh. Maka wujud satu perasaan konspirasi bahawa tiada kewibawaan politik untuk membina rumah untuk peneroka Kampung Berembang.

Kini pucuk kepimpnan kerajaan negeri berada dengan Pakatan rakyat, yang Khalid menjadi MB. Khalid pula membantah perobohan rumah di Kampung Berembang pada masa itu. Kelewatan pembinaan rumah ini mendorong kami membuat satu aksi. 

Penduduk Berembang berasa amat tidak puas hati dan kecewa dengan kelewatan itu. Maka satu mesyuarat diadakan di bangunan SUK Selangor  untuk menangani isu ini. Turut hadir adalah pemaju projek, Majlis Perbandaran Ampang Jaya,  exco kerajaan negeri Iskandar Abdul Samad,  AJK dari Kampung Berembang dan saya.

Kami menunggu agak lama di ruang tamu untuk mesyuarat penting. Ada banyak reaksi orang keluar masuk bilik mesyuarat. Suasana tegang sepanjang masa. Ada juga ura-ura bahawa Khalid MB sendiri akan pengerusikan mesyuarat ini.

Akhinya isu Kampung Berembang dipanggil untuk dibincang dan kami dijemput masuk bilik yang agak kecil dan sempit. Dalam ruang kecil itu, saya nampak Khalid memakai baju putih, lengan panjangnya dilipat sehingga siku. Beliau  kelihatan amat letih dengan peluh menyelebungi muka. Beliau juga membaca dokumen-dokumen yang ada di hadapannya.

Pada masa itu, saya mahu bercakap dan mula bersuara tetapi dia beri isyarat untuk saya berdiam dan berkata dia nak cakap dulu. Dengan begitu tegas dia bertanya soalan bertubi-tubi kepada Pemaju – berapa orang pekerja yang kamu ada? Apa alatan yang kamu ada? Projek sekarang di peringkat mana dan bila projek ini akan siap? 

Semua pakar dan jurutera majlis diam sahaja. Pemaju pula betungkus lumus memberi jawapan tetapi akhirnya Khalid berkata:

“Dengan apa yang kamu cakap, saya tahu projek ini tidak boleh siap dalam masa yang kamu katakan. Don’t lie to me. I know this job.”

Pemaju terkejut dan akhirnya mengalah. Khalid mengingatkan pemaju bahawa beliau juga pernah menjadi pemaju dan tahu selok-belok isu yang dibincang. Pemaju akur dan Khalid memberikan dia lebih masa untuk siapkan projek dan memberikan amaran bahawa perumahan kos rendah kena siap dulu dan semua kerja lain kena hentikan sehingga perumahan ini selesai. 

MB minta dia fokus dan memberikan amaran tegas semua projek lain pemaju ini harus ditangguhkan jika dia tidak mahu serius dalam pembinaan pangsapuri kos rendah ini.

Selepas MB tanya semua soalan yang relevan, dia tanya pula kepada penjawat awam. 

“Adakah kamu ada apa-apa komen atau persoalan?” 

Mereka semua berdiam diri sahaja dan MB berkata: “So semua buat bodoh sahaja ya?”

Pada ketika itu, Pengerusi Kampung Berembang Noralizan mencelah:

“Jika projek ini lambat lagi, kami nak berkhemah di tapak projek. Pada masa itu, MB berkata, jangan risau, jika projek itu lambat lagi, saya akan minta exco Iskandar duduk bersama anda dalam khemah itu.”

Akhirnya Khalid pandang dan tanya saya pula.  "So Arul do you have anything to say?" 

I was speechless.  Saya juga bisu sahaja dan kagum kerana saya ingatkan kerajaan negeri akan berlembut dengan pemaju tetapi gayanya tidak. Beliau tanya semua soalan dan tegas kendalikan mesyuarat itu secara efisien dan berkesan.

Pelancancaran perumahan Berembang Indah

Akhirnya pada Februari 2009, seramai 68 keluarga Kampung Berembang mendapat rumah sendiri di Berembang Indah. Selepas bertahun-tahun hidup sebagai setinggan dan melalui ranjau suka duka kehidupan, akhirnya 68 keluarga itu akan memiliki rumah sendiri. Saya ada pergi ke banyak projek perasmian. Biasanya upacara penuh mewah dan hanya ada  ucapan-ucapan sahaja.

Namun perasmian kali ini berbeza sedikit kerana semasa ucapan perasmian Khalid berhenti dan mula bertanya beberapa soalan lagi kepada Pemaju kerana dia dengar sedikit keluhan peneroka dicsana. Maka ucapan perasmian bertukar pula menjadi dialog. 

Dia kemudian terus bertanya kepada peneroka apa aduan mereka dan terus meminta pemaju dan pegawai majlis menjawabnya. MB juga berkata, jangan ingat saya akan saja datang dan rasmikan projek. Isu masalah rakyat kena diselesaikan dalulu.

Maka inilah pengalaman saya melihat Khalid seorang MB yang berbeza cara berbanding dengan MB sebelumnya.

Noralizan Pengerusi Kampung Berembang berkata inilah MB sebenarnya kerana dia dengar pandangan kami dari mula sehingga akhir dan hari ini kami duduk di rumah sendiri kami.

Jerit – Rakyat Pengayuh Perubahan

Pasca PRU 2008, BN kehilangan 5 negeri dan 2/3 majoriti di Parlimen. Pada masa itu Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) hendak melancarkan kempen membawa isu rakyat dalam arena politik perdana Negara. Ketika itu, ada cadangan meminta sokongan dari kerajaan negeri Selangor. 

Kempen  Basikal  Jerit - Rakyat Pengayuh Perubahan adalah satu inisiatif Jerit yang akan berbasikal ke seluruh negara melalui pekan-pekan dan bandar-bandar utama dengan membawa mesej kesedaran tentang isu-isu semasa yang memberi tekanan kepada kehidupan rakyat. 

Antaranya adalah isu kenaikan harga minyak, penggunaan akta zalim seperti ISA ke atas rakyat,  isu global seperti alam sekitar dan krisis makanan yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia.

Untuk mendapat sokongan kepada inisiatif ini, kami pergi untuk berjumpa dengan Khalid di bangunan SUK. Pada masa itu, di tengah satu sidang DUN, ada pelbagai delegasi menunggu untuk berjumpa dengan Khalid dan antara kumpulan itu adalah kami. Kami kesemuanya berpakaian baju kemaja T dan bersahaja manakala semua pasukan lain dengan tali leher dan sut penuh. 

Pada ketika itu juga Ronnie Liu membawa satu delegasi dari luar negara tetapi apabila Khalid melihat team kami, dia terus meninggalkan kumpulan-kumpulan lain dan terus datang dan duduk bersama dan berbincang dengan kami. Dia berkata orang lain boleh tunggu kerana kebanyakan mereka hanya mahukan duit dan kontrak dari beliau. 

Tetapi kami pula dia tahu dari dulu memang memperjuangkan isu rakyat tertindas, maka dia amat berminat mendengar cadangan kami dan bersetuju untuk merasmikan kempen Basikal Jerit di Selangor.

Maka pada 29 November 2008 di perkarangan Stadium Melawati, Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim telah menyatakan sokongan penuh dan melancarkan kempen basikal Jerit “Rakyat pengayuh perubahan’.

Dalam ucapan pelancaran beliau. Khalid telah mengatakan bahwa beliau begitu berbangga dalam melancarkan program ini. Beliau juga telah menyatakan bahawa adalah perlu gerakan seperti Jerit untuk mengingatkan tanggungjawab kerajaan Pakatan Rakyat. 

Tambah Khalid Ibrahim, tuntutan Jerit adalah selaras dengan inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk merakyatkan ekonomi negeri Selangor dan memberi sokongan penuh kepada kempen Jerit. Setelah ucapan pelancaran, beliau memotong belon dan seterusnya melancarkan Kempen Basikal Jerit.

Setelah itu slogan “Hidup Rakyat! Hidup Perjuangan!” diluangkan 

Membantu keluarga mangsa ISA

Satu lagi persepsi adalah Khalid sering dikatakan kedekut dalam perbelanjaan tetapi dalam isu membela keluarga mangsa tahanan ISA, beliau memang amat prihatin dan memberikan sokongan yang kritikal kepada keluarga mangsa. Semasa kami dalam GMI- Gabungan mansuhkan ISA- beliau juga membuka satu tabung khas untuk GMI.

Selangor menjadi antara kerajaan negeri pertama membantu keluarga 16 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara terbuka. Semua tahanan pada masa itu terkurung di kem Kamunting, Perak. Bantuan kewangan ini diberikan setelah kami mengadakan satu mesyuarat dengan Khalid mengumumkan bantuan tersebut di Dewan DUN secara terbuka.

Bantuan yang diberikan tersebut termasuklah menampung kos berulang-alik melawat tahanan, biasiswa pendidikan kepada anak-anak dan mencari peluang pekerjaan kepada anggota keluarga tahanan. 

Khalid berkata langkah GMI sejajar dengan pendirian kerajaan negeri untuk memansuhkan ISA dan Akta Rahsia Rasmi (OSA). 

Penstrukturan semula Air Selangor

Bagi saya satu daripada legasi terpenting Khalid adalah penstrukturan Air Negeri Selangor.  Langkah melawan konsesi ini dijalankan bukan melalui cara Guthrie Dawn Raid pada 7 September 1981di tengah malam atau melalui rundingan sulit seperti di Hotel Sheraton. 

Tetapi Kerajaan negeri pimpinan Khalid membuat kempen besar, mengembeleng kuasa rakyat dan mengantar memorandum ke Istana Negara mendesak aset dikembalikan kepada rakyat Selangor.

Memorandum diserahkan kepada Pegawai Akhbar Istana Negara Khairi Abdul Rahman di perkarangan istana kira-kira 2.15 petang pada 5-12-2010. Dalam memorandum tersebut, MB Khalid berkata kandungan memorandum itu memohon Tuanku Mizan menitahkan hak air, yang kini dikendali Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dikembalikan kepada kerajaan negeri Selangor.

Perjanjian air pusat dan Selangor

Ini satu hari yang amat bermakna. Pada hari tersebut juga, seramai 15,000 orang bedemo. Mereka diserang dengan gas pemedih mata. Lebih kurang 50 orang ditahan termasuk saya, Dr Nasir, Sivarajan. FRU mula menghalang orang ramai tetapi tindakan Khalid akhirnya berjaya.

Kerajaan Negeri mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan dan empat syarikat konsesi untuk menstruktur semula perkhidmatan air yang yang bermula sejak 2008 itu akhirnya membolehkan semua aset air dikembalikan kepada rakyat.

‘Dulu lihat FFB, sekarang saya lihat manusia’

Saya akhiri catatan peribadi saya dengan satu mesyuarat meja bulat di Bangunan SUK mengenai isu pekerja ladang Selangor. Forum meja Bulat dianjurkan oleh exco perladangan Xavier pada masa itu dan Khalid dijemput merasmikan.

Khalid melihat kepada tetamu dan apabila dia melihat saya dan Dr Nasir, dia tersenyum dan ketawa. Dia mulakan ucapan dengan berkata, dia memang disediakan satu teks untuk dibaca tetapi dia tidak mahu membacanya  kerana nak bercakap isu sektor ladang, isunya terlalu peribadi dihatinya. 

Dalam ucapan dia berkata, sebelum ini saya tidak faham apabila Dr Nasir, Arul semua berjuang isu pekerja  ladang. Pada masa itu, bagi saya apa yang penting adalah berapa banyak FFB (fresh fruit branches) masuk dalam lori tetapi setelah saya menjadi MB, saya mula melihat dan memikirkan perkara lain yang sebelum ini saya tidak peduli seperti apakah pekerja itu makan, kebajikan mereka, tempat tinggal tempat dan sebagainya. 

“Saya sudah berubah. Dalam diri saya pun, saya mula melihat aspek kemanusiaan yang dilalui rakyat. Saya pun ada unsur-unsur sosialis dalam diri saya, beliau bergurau.”

Itulah sedikit catatan peribadi bagaimana Khalid Ibrahim lawan kami dan akhirnya menjadi kawan kami. Beliau digulingkan oleh Langkah Kajang yang kejam. Beliau dikatakan bukan seorang ahli politik yang berjaya. Beliau dikatakan tidak pandai berceramah. Namun beliau berdiri tinggi kerana caranya yang berbeza dan ketegasan beliau mengendalikan isu dengan cara yang berbeza.

Beliau meninggalkan satu cara kerja dan legasi yang berbeza.


S ARUTCHELVAN ialah aktivis kiri yang berjuang melalui Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS