Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaporkan bahawa pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam pemerolehan kapal tempur pesisir atau Littoral Combatant Ship (LCS).
Menurut laporan itu, ia adalah antara sebab berlakunya lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang dianugerahkan kepada BNS pada 2021.
“Pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.”
Laporan itu menyebut bahawa pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM dipersetujui pada Mei 2011 oleh menteri pertahanan tetapi dua bulan kemudian keputusan itu berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind, pengeluar sama kapal selam Scorpaena Perancis.
"Keputusan untuk menukar kepada reka bentuk Gowind dibuat pada 11 Julai 2011, berikutan cadangan yang dibawa oleh BNS kepada menteri pertahanan (Ahmad Zahid Hamidi) pada 8 Julai 2011," katanya.
Zahid menerajui Kementerian Pertahanan antara tahun 2009 dan 2013.
Laporan PAC yang memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz, Panglima TLDM pada ketika itu, sebagai berkata keputusan tersebut adalah "something is gravely wrong".
PAC juga mendapati terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan yang mana pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.
"Ini adalah luar biasa dan menyebabkan bayaran kemajuan LCS1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus)," katanya.