Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi, Aminuddin masing-masing pimpin PKR di dua negeri
Diterbitkan:  Aug 4, 2022 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Selain memimpin Wilayah Persekutuan, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut dilantik mengetuai Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor.

Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim semalam, sehari selepas dia mengumumkan Rafizi dilantik mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

"Semua ketua cabang negeri Johor bersetuju dengan pelantikan saudara Rafizi sebagai pengerusi MPN Johor," kata Anwar dalam kenyataan selepas mesyuarat berlangsung malam tadi.

Pada masa yang sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun pula dilantik sebagai Pengerusi MPN Negeri Sembilan dan Melaka bagi penggal 2022- 2025.

"Setelah rundingan dibuat kesemua ketua cabang di Negeri Sembilan telah bersetuju untuk mengekalkan saudara Aminuddin sebagai pengerusi MPN Negeri Sembilan.

"Saudara Aminuddin juga akan turut memimpin MPN Melaka setelah mendapat persetujuan semua ketua cabang negeri tersebut.

"Saya berharap mereka dapat laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan serta dapat memantapkan gerak kerja PKR mendepani PRU15," tambah Anwar.

Lazimnya, pengerusi MPN negeri tidak mengetuai lebih daripada satu negeri.

Ketua-ketua cabang PKR mempunyai kuasa untuk memilih ahli jawatankuasa PKR negeri, manakala ahli parti tidak boleh memilih pengerusi MPN.

Bagaimanapun, mengikut amalan, presiden parti akan melantik pengerusi MPN selepas berunding dengan ketua-ketua cabang.

Pengerusi MPN merupakan jawatan yang penting kerana mempunyai pengaruh terhadap pemilihan calon pilihan raya dan merupakan calon bagi jawatan menteri besar atau ketua menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS