Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemimpin Umno Selangor sudah boleh terima Zafrul'

Pemimpin Umno Selangor termasuk Ketua Umno Kuala Selangor kini dikatakan sudah boleh menerima penyertaan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk bergiat aktif di negeri itu bagi membantu BN memenangi PRU15.

Ketua Komunikasi Umno Selangor, Jamal Md Yunos, berkata Zafrul juga telah menukar keahliannya daripada ahli Umno Lembah Pantai kepada Kuala Selangor.

"Selain telah bergandingan di Selangor, dia juga telah menukar keahlian Umno dari Lembah Pantai ke Kuala Selangor. Jadi, sahihlah sebagai ahli Umno dalam negeri Selangor dan juga Kuala Selangor merupakan tempat kelahirannya.

"Pada awalnya ada yang menentang, termasuk Ketua Umno Kuala Selangor, Jahaya Ibrahim yang melarang mana-mana pemimpin Umno kawasan itu menyertai program Tengku Zafrul, tapi kini tidak lagi.

"Tengku Zafrul merupakan nilai tambah yang mampu menarik sokongan rakyat khususnya anak muda kepada BN," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 26 Mei lalu, media melaporkan ketua Umno Kuala Selangor menegaskan yang dia tetap dengan pendirian menghalang kepimpinan ahli Umno bahagian tersebut terlibat dengan program Zafrul di kawasan Parlimen Kuala Selangor.

Jelas Jahaya, pihaknya tidak mahu jentera parti tersebut dipergunakan untuk mendokong pemimpin dari luar kawasan tersebut.

Pada 1 Ogos lalu, Pengerusi BN Selangor Noh Omar mengumumkan Zafrul sebagai bendahari BN Selangor yang baru.

Zafrul menggantikan Jamal bagi jawatan itu.

Sementara itu, ditanya sama ada Zafrul bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor atau tidak, Jamal berkata perkara itu akan diputuskan pucuk pimpinan parti.

"Tentang bertanding di Kuala Selangor, itu (memang) arahnya. Tetapi tentang siapa yang bertanding di mana, itu pucuk pimpinan parti putuskan.

"Tiada siapa boleh tentukan ataupun mendahului keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS