Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindah polis bermasalah: Sabah pandang serius
Diterbitkan:  Aug 3, 2022 4:38 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) patut berbincang dengannya terlebih dulu sebelum memindahkan anggota pasukan keselamatan bermasalah terbabit ke negeri berkenaan.

Menurut Hajiji, selalu pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri, dia sepatutnya dimaklumkan mengenai cadangan tersebut.

“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan tersebut mungkin satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya.

Hajiji berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai tindakan yang diambil PDRM ke atas anggotanya yang terlibat dalam isu disiplin, iaitu memindahkan mereka ke Sabah atau Sarawak.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, yang dipetik Sinari Harian, siasatan berkaitan kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci.

"Kesemua anggota yang terlibat telah ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

"Siasatan masih dijalankan melibatkan semua aspek dan saya tegaskan bahawa polis Selangor sama sekali tidak berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah," katanya.

Semalam bantahan terhadap tindakan tersebut terlebih dulu dinyatakan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.

Pemimpin Warisan itu berkata Putrajaya tidak wajar menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai "tong sampah" apabila menempatkan pegawai kerajaan bermasalah di negeri itu.

Katanya budaya sebegitu akan menjejaskan kemajuan kedua-dua negeri terbabit ketika mereka sememangnya sudah jauh ketinggalan.

"Tolonglah Federal. Sabah, Sarawak bukannya tong sampah.

"Sudahlah kami tertinggal dari segi infrastruktur, takkanlah dari segi perkhidmatan pun kamu kasi kami orang yang bermasalah.

"Sampai bila kami mahu maju?" katanya.

Hajiji - yang kini berada di Tanah Suci kerana menunaikan umrah - berkata dia akan mendapatkan penjelasan daripada PDRM mengenai perkara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS