Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP| RUU peruntukan, kawalan dana politik harus dilaksana sebelum PRU15

Kes mahkamah yang melibatkan sumbangan politik bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi oleh Ultra Kinrara Sdn Bhd (UKSB) mendedahkan lejar sumbangan politik kepada tokoh-tokoh besar politik negara. 

Pendedahan tersebut amat mengejutkan kerana 12 tokoh politik besar terlibat setakat ini. Mereka bukan calang-calang ahli politik, tetapi merupakan perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri (yang berkuasa pada masa itu). Mengikut laporan media setakat ini, sumbangan politik sebanyak RM70 juta telah dibuat.

Jika kes ini berlaku di negara lain, ia sudah tentunya mengegarkan politik negara dan mungkin menjatuhkan kerajaan. Namun di Malaysia, kita masih tidak melihat tindakan SPRM dan polis yang serius.

Orang kata business as usual (urusan seperti biasa). Rakyat Malaysia seolah-olah sudah berputus asa dengan kes-kes rasuah ini.

Kes UKSB bukannya kes mahkamah pertama berkenaan dengan sumbangan politik. Kes-kes terdahulu termasuklah kes bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor melibatkan Pengarah Urusan Syarikat Asset Kayamas, kes Rosmah Mansor oleh Jepak Holdings Sdn Bhd dan kes bekas ketua menteri Sabah Musa Aman. 

Kes-kes yang berjaya didakwa ke mahkamah hanyalah sebilangan kecil dan banyak lagi kes yang tidak didedahkan.

Kes-kes sumbangan politik yang mempunyai unsur rasuah ini menghakis kepercayaan rakyat terhadap pemimpin-pemimpin negara. 

Ahli-ahli politik seolah-olah boleh dijual beli dengan wang haram. Syarikat swasta yang ingin mendapat kontrak kerajaan sanggup "menderma". Integriti pemimpin-pemimpin dipertikaikan. Dan akhir sekali, mencemarkan institusi demokrasi kerana terlalu ramai ahli politik terlibat dalam kes-kes rasuah sumbangan politik.

Kerajaan dan rakyat rugi besar kerana kontrak yang besar diberikan kepada syarikat kroni dan tidak menguntungkan negara.

Bagaimana kita menyelamatkan institusi demokrasi dan pilihan raya? Bagaimanakah kita mengembalikan kepercayaan terhadap pemimpin dan ahli politik?

Menjelang PRU15, satu lagi reformasi penting perlu dilakukan. Saya ingin mencadangkan RUU Peruntukan Dana Politik oleh Kerajaan dan Kawalan Dana Politik (Political Funding by the Government and Political Funding Transparency Act).

Langkah ini boleh membersihkan politik daripada rasuah politik.

Cadangan RUU ini adalah memberi peruntukan kerajaan kepada parti politik untuk menguruskan operasi parti dan menjalankan kempen pilihan raya. 

Model Jerman

Peruntukan dana adalah mengikut formula tertentu. Peruntukan negara hanya diberi secara sederhana tanpa menjejaskan kewangan negara. Jabatan Audit Negara akan bertanggungjawab mengaudit segala perbelanjaan parti-parti politik secara ketat dan transparent kerana menggunakan peruntukan negara.

Cadangan RUU ini bertujuan memutuskan rasuah politik oleh pihak swasta yang sangat berleluasa. Kerugian negara dalam isu rasuah politik jauh lebih parah. Cadangan ini dijangka akan membersihkan politik negara.

RUU sedemikian telah dilakukan di negara seperti Jerman dengan berjaya. Dana politik disumbangkan oleh kerajaan untuk parti-parti politik beroperasi dan bertanding dalam pilihan raya. Sumbangan dana politik oleh syarikat swasta dikawal dengan sangat ketat dan tidak digalakkan.

Model Jerman ini telah terbukti berjaya dan menghentikan rasuah dan skandal politik di negara tersebut.

Minggu lepas, parlimen berjaya meluluskan penggubalan perlembagaan berkenaan antilompat parti. Ini membuktikan jika rakyat mahukan perubahan, perubahan itu boleh dilakukan.

PRU15 dijangka akan menjadi medan pertembungan yang paling sengit dalam sejarah negara. Parti-parti yang bersaing akan memerlukan dana yang sangat tinggi demi memenangi PRU. Kita tidak harus membiarkan rasuah politik menjadi lebih parah.

Malaysia harus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik dan pemimpin negara kita sebelum PRU15. Rakyat harus menuntut RUU peruntukan politik oleh kerajaan dan kawalan dana politik dibentangkan dalam sidang parlimen bulan Oktober.


SIM TZE TZIN ialah anggota parlimen Bayan Baru.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS