Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian digesa tubuh jawatankuasa siasat 'pilih kasih' di USM

Bekas profesor Universiti Sains Malaysia (USM), Omar Shawkataly menggesa Kementerian Pengajian Tinggi membentuk jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan diskriminasi, buli dan kebocoran soalan peperiksaan di fakulti perubatan universiti itu.

Omar berkata adalah tidak wajar USM membentuk jawatankuasanya sendiri seperti yang diumumkan oleh universiti itu sebelum ini.

"Menteri Kementerian Pengajian Tinggi perlu membentuk jawatankuasa siasatan, mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, untuk menyiasat dakwaan itu dan menyerahkan laporan kepada menteri," kata Omar.

Merujuk kepada Auku, Omar berkata Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad diberi kuasa untuk melantik seseorang atau badan untuk menyiasat sebarang aktiviti mana-mana institusi pengajian tinggi.

Di bawah akta itu, Omar berkata, hasil siasatan sedemikian akan dilaporkan kepada menteri, bersama-sama dengan syor yang akan diberikan.

“Menteri tidak seharusnya melengahkan isu ini lagi kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap Kementerian Pengajian Tinggi dan USM,” kata Omar kepada Malaysiakini.

Omar juga menegaskan adalah tidak wajar bagi USM membentuk jawatankuasanya sendiri kerana ia mungkin dilihat berat sebelah.

Tambahnya, orang ramai mengharapkan jawatankuasa dari luar USM untuk menyiasat perkara itu dan membuktikan kebenaran dakwaan berkenaan.

Jaga integriti dan ketelusan

Omar yang pernah berkhidmat dalam program sains kimia USM sebelum ini menggesa universiti itu menamakan ahli jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan untuk meneliti proses peperiksaan di universiti itu.

Dia berkata USM perlu berbuat demikian untuk memelihara integriti dan ketelusan serta mengekalkan keyakinan orang ramai.

Dia berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Naib Canselor USM, Prof Faisal Rafiq Mahamd Adikan bahawa satu jawatankuasa khas terdiri daripada pakar luar telah dibentuk.

"Apabila kerajaan mengumumkan penubuhan sesebuah jawatankuasa khas, ia mendedahkan nama ahli panel secara terbuka, seperti jawatankuasa khas untuk meneliti pemansuhan hukuman mati,” katanya.

Dia turut memberi contoh jawatankuasa khas bagi menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dan jawatankuasa khas menyiasat gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan.

Omar berkata keyakinan orang ramai amat penting bagi memelihara imej institusi pendidikan seperti USM yang telah menjadi Universiti Apex (Accelerated Program for Excellence) sejak 2009.

Selain itu katanya, adalah penting bagi wakil Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk berada dalam jawatankuasa khas berkenaan.

Omar adalah ahli senat USM selama lima penggal dan menduduki lembaga pengarah universiti itu selama dua penggal.

Sebelum ini seorang siswazah, yang juga seorang pegawai perubatan, mendakwa soalan peperiksaan dibocorkan kepada pelajar yang digemari manakala mereka yang tidak disukai pensyarah diberi gred rendah.

Peperiksaan libatkan pakar luar

Faisal berkata jawatankuasa itu ditubuhkan selepas aduan dibuat oleh calon sarjana dalam bidang Sains Perubatan USM.

Naib canselor itu berkata individu berkenaan mendakwa wujud ketidakadilan dalam sistem peperiksaan sehingga menyebabkan ada calon gagal dalam peperiksaan.

Faisal berkata USM menjalankan siasatan dalaman dan mendapati sistem peperiksaan pada masa ini telah dijalankan secara menyeluruh, dikawal oleh prosedur yang ketat, dengan pakar luar dan bukan dengan pensyarah semata-mata.

“Susulan pengumuman keputusan peperiksaan, calon akan dimaklumkan untuk memberikan maklum balas berhubung komponen peperiksaan yang memerlukan semakan, jika ada.

“Namun begitu, demi menjaga integriti dan menjaga nama baik universiti, USM malah telah menubuhkan jawatankuasa luar untuk benar-benar memastikan sistem dan proses itu benar-benar dilakukan dan dijalankan dengan integriti dan kredibiliti,” tambah Faisal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS