Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nancy Pelosi puji M'sia dalam lawatan bersejarah ke Parlimen
Diterbitkan:  Aug 2, 2022 9:48 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Nancy Pelosi hari ini mencatat sejarah menjadi speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang pertama membuat lawatan ke Malaysia dan Parlimen.

Dalam kenyataan selepas lawatannya, Pelosi berkata dia mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah, dan kemudian menyertai perbincangan antara parlimen yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun.

"Perbincangan termasuk soal cabaran keselamatan, peluang ekonomi dan keutamaan tadbir urus.

"Dalam setiap pertemuan, kami menyampaikan penghargaan ke atas undi Malaysia di PBB berkenaan pencerobohan Rusia dan kepimpinan dalam Asean untuk mengkritik Myanmar atas tindakan keras yang membawa maut terhadap pengkritik (kerajaan)," katanya.

Berhubung tadbir urus, Pelosi berkata perbincangan bertumpu kepada integriti kerajaan, perubahan iklim dan Covid-19.

"Kami bersetuju untuk terus bekerjasama dalam kepentingan bersama seperti keselamatan, keutamaan ekonomi, perdagangan, isu iklim dan pemerdagangan manusia," katanya lagi.

Pelosi - individu ketiga paling berkuasa dalam kerajaan AS - dalam siri kunjungan ke Asia dan akan tiba di Taipei malam ini. Dia kemudian akan melawat Jepun dan Korea Selatan.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu pemberita bahawa delegasi Malaysia membincangkan isu global dan industri minyak sawit dengan Pelosi.

"(Minyak sawit) adalah isu kontroversi antara Malaysia dan AS. Kami ingin menjadi jalan untuk lebih banyak libat urus," katanya sambil menambah Malaysia tiada sebarang isu untuk ditutup.

Azhar juga mendedahkan delegasi negara turut membangkitkan status Tier 3 Malaysia dalam laporan Traficking in Persons (TIP) 2021 Jabatan Negara AS.

"Hari ini, menteri (dalam negeri) memberikan penjelasan kementerian (kepada Dewan Rakyat) pada tengah hari dan saya pula menegaskan Malaysia telah mengambil tindakan tegas (berhubung pemerdagangan manusia)," katanya lagi.

Kata Azhar lagi, lawatan Pelosi sangat signifikan kerana ia membolehkan kedua-dua negara untuk saling belajar.

"Dari segi parlimen, kita baru saja mulakan amalan menubuhkan jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC).

"Kita berharap untuk belajar daripada AS kerana sudah memiliki jawatankuasa (kongres) sejak sekian lama," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Hamzah membacakan jawapan kementerian di Dewan Rakyat walaupun ia tidak tersenarai dalam aturan mesyuarat.

Dia antara lain memperincikan usaha Malaysia bagi menangani pemerdagangan manusia.

Susulan itu, beberapa ahli parlimen pembangkang mempersoalkan jika penjelasan kementerian itu dibuat ekoran lawatan Pelosi.

Jabatan Negara AS telah menerbitkan laporan TIP sejak 2001 sebagai alat untuk mengumpul maklumat "agar program bantuan dapat disasarkan dengan lebih berkesan".

Status Tier 3 menyebabkan negara berisiko berdepan sekatan dan denda, seperti mengurangkan akses negara dalam pasaran AS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS