Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU Kawalan Tembakau dirujuk ke PSC untuk ditambah baik

Rang undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok, yang pada mulanya dijangka diundi di Dewan Rakyat hari ini, akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan usul untuk merujuk RUU itu kepada PSC sebaik saja menamatkan ucapan penggulungan bagi bacaan kedua RUU di Dewan Rakyat hari ini.

Jawatankuasa baru itu ditubuhkan untuk meneliti dan memberikan syor terutama berkenaan penguatkuasaan dan denda di bawah RUU tersebut yang digelar sebagai generasi penamat tabiat merokok.

Ia juga akan meneliti cadangan yang dibangkitkan ahli parlimen ketika perbahasan peringkat dasar serta syor oleh PSC bagi Kesihatan, Sains dan Inovasi dan PSC bagi Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial.

Dalam tempoh sebulan, PSC itu akan menyediakan laporan berhubung cadangan untuk menambah baik RUU.

Menurut Khairy, PSC itu boleh melanjutkan tempoh tersebut tetapi laporan mesti disiapkan sebelum permulaan sidang Dewan Rakyat akan datang.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa kerajaan untuk merujuk kepada PSC yang diketuai Khairy terlebih dahulu.

RUU Kawalan Tembakau dan Merokok dibentang untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat semalam.

Bagi bacaan kedua, Khairy mengumumkan ia akan dipinda untuk mengambil kira cadangan oleh jawatankuasa dwipartisan - PSC bagi Kesihatan, Sains dan Inovasi yang diketuai Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dan PSC bagi Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial yang diketuai Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

RUU itu antara lain bertujuan melarang menjual produk tembakau dan peranti merokok kepada mereka yang lahir dari 1 Jan 2007 dan seterusnya, dengan larangan mula berkuatkuasa pada 2025.

Selain itu, RUU yang telah diusahakan sejak 2005 itu turut mengandungi pelbagai peraturan untuk mengawal penjualan produk tembakau dan vape.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS