PARLIMEN | Lebih RM1.57 bilion akan dibelanjakan kerajaan pada tahun ini bagi membayar faedah daripada hutang 1MDB.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu anggaran itu dibuat dengan andaian kadar tukaran mata wang ringgit Malaysia dengan dolar AS ialah pada kadar RM4.50 bagi setiap AS$1.
"Pembayaran faedah dibuat dua kali setahun mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.
Tengku Zafrul memberitahu Dewan Rakyat mengenai hal itu sebagai jawapan kepada soalan Pang Hok Liong (PH-Labis).
Terdahulu Pak bertanya kepada Kementerian Kewangan mengenai bayaran faedah bulanan yang diperlukan kerajaan untuk membayar hutang 1MDB.
Sebelum ini media melaporkan setakat 30 Jun lalu, baki komitmen hutang 1MDB ialah sebanyak RM32.08 bilion.
Kata Tengku Zafrul antara April 2017 dan Mei 2022 kerajaan menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah RM10.85 bilion melalui Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) untuk melunaskan komitmen hutang dan faedah 1MDB.
Zafrul berkata sehingga 30 Jun, jumlah dana 1MDB yang berjaya diperolehi semula ialah berjumlah RM19.28 bilion termasuk dalam pelbagai mata wang asing, seperti dolar AS, dolar Singapura dan dolar Australia.