Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar gesa rujuk RUU Kawalan Tembakau kepada PSC
Diterbitkan:  Aug 2, 2022 10:51 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa Rang undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok, yang kini dibahaskan untuk bacaan kali kedua dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

Anwar berkata dia telah menghantar usul Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun di bawah Peraturan Mesyuarat 54(1) dan 54(2).

"Setelah mengadakan perbicangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat dari blok pembangkang, saya mendapati mereka menyokong rang undang-undang itu secara prinsip.

“Bagaimanapun, saya turut mendapati bahawa ramai ahli-ahli Dewan Rakyat dari blok pembangkang yang telah menzahirkan kebimbangan mereka terkait soal hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan, serta isu-isu yang berkait dengan penguatkuasaan akta ini kelak,” kata Anwar dalam suratnya kepada Azhar semalam, yang dikongsi di Facebook .

Katanya, jawatankuasa itu perlu meneltii isu-isu perlembagaan dan penguatkuasaan berkaitan larangan tembakau, serta mengemukakan cadangannya dalam tempoh sebulan.

Anwar juga mencadangkan PSC berkenaan terdiri daripada sejumlah ahli Dewan Rakyat daripada semua parti politik dan diketuai menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Saya berharap cadangan untuk merujuk rang undang-undang ini kepada sebuah jawatankuasa pilihan dapat diberi pertimbangan sewajarnya,” tambahnya.

Semalam Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata tidak mustahil kelak akan ada sebilangan remaja berusia 18 tahun menyaman kerajaan kerana melanggar kebebasan mereka untuk memilih jika Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 diluluskan.

Pindaan undang-undang itu akan melarang warga negara yang lahir dari 2007 dan seterusnya daripada merokok dan menghisap vape.

Kata Nazri, pindaan tersebut akan mewujudkan satu bentuk diskriminasi kepada mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya.

Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam.

Sebahagian daripada rang undang-undang itu dikenali secara meluas sebagai GEG atau generasi penamat tabiat merokok.

Ia bertujuan untuk melarang menjual produk tembakau dan peranti merokok kepada mereka yang lahir dari 1 Jan 2007 dan seterusnya, dengan larangan itu mula berkuatkuasa pada 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS