PARLIMEN | Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata tidak mustahil nanti akan ada sebilangan remaja berusia 18 tahun menyaman kerajaan kerana melanggar kebebasan mereka untuk memilih jika Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 diluluskan.
Pindaan undang-undang itu akan melarang warga negara yang lahir dari 2007 dan seterusnya daripada merokok dan mengevap.
Kata Nazri, pindaan tersebut akan mewujudkan satu bentuk diskriminasi kepada mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya.
"Saya setuju jika kita haram rokok terus. Bila kita haram rokok, maka mereka (lahir 2007) juga tidak boleh hisap rokok, makna kita pun tak boleh hisap rokok.
"Kenapa diskriminasi? Boleh lah jawab (penguatkuasaan secara) bertahap ke apa, tetapi kamu menciptakan diskriminasi.
"Saya percaya, nanti ada budak yang 18 tahun, dua, tiga orang akan bawa kes ke mahkamah dan menuntut mahkamah untuk menentukan sama ada hak asasi mereka telahpun dicabuli (atau tidak), kerana adanya akta ini.
Nazri berkata demikian semasa perbahasannya dalam bacaan kedua Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022.
Tegasnya, kebebasan memilih merupakan hak asasi manusia yang sangat penting yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, ahli parlimen itu berkata dia bersetuju sepenuhnya dengan Kementerian Kesihatan mengenai mudarat merokok.
Namun, kata Nazri dia hanya membangkitkan kebimbangannya supaya kementerian dapat meneliti perkara ini.
Ramai orang berpendapat bahawa kanak-kanak perlu dilindungi dengan rang undang-undang itu tetapi Nazri mengingatkan bahawa mereka yang lahir pada 2007 akan berumur 18 tahun apabila peruntukan pindaan akta itu sepatutnya berkuat kuasa pada 2025.
"jadi, kita bukan bercakap pasal kanak-kanak sebenarnya, kita bercakap mengenai rakyat berusia 18 tahun yang boleh mengundi dan dalam perlembagaan, beberapa kebebasan dijamin, bahawa mereka berhak memilih untuk merokok," katanya.
Dia juga berkata terdapat cara untuk mencegah asap rokok dihidu orang lain tanpa melarang merokok secara langsung, seperti kuasa menteri kesihatan untuk menetapkan kawasan sebagai kawasan larangan merokok.
"Tapi saya tidak fikir kita boleh kawal orang dalam rumah mereka," katanya.
Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Sebahagian daripada rang undang-undang itu dikenali secara meluas sebagai GEG atau generasi penamat tabiat merokok.
Ia bertujuan untuk melarang menjual produk tembakau dan peranti merokok kepada mereka yang lahir dari 1 Jan 2007 dan seterusnya, dengan larangan itu mula berkuatkuasa pada 2025.
Selain peruntukan GEG berkenaan, rang undang-undang itu juga termasuk pelbagai peraturan untuk mengawal penjualan tembakau dan produk vap, yang telah diusahakan sejak 2005.