Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP gesa tindakan pada Rashid kerana didakwa kelirukan dewan

Dua ahli parlimen menggesa tindakan diambil terhadap Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon kerana didakwa mengelirukan Dewan apabila berkata dia menggantung Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman selama dua hari berikutan dakwaan ahli parlimen itu menggunakan perkataan lucah di Parlimen pada 20 Julai.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata Hansard menunjukkan Tajuddin telah diminta meninggalkan Dewan Rakyat semasa sesi pagi pada 20 Julai, tetapi dia kemudian kembali untuk sesi petang dan disenaraikan sebagai salah seorang yang mengundi usul untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Ini menunjukkan walaupun Rashid berkata pada 26 Julai bahawa Pasir Salak digantung daripada Parlimen selama dua hari termasuk hari kejadian (20 Julai), ini tidak pernah berlaku sebenarnya.

“Sebenarnya, pada hari kejadian, Pasir Salak bukan sahaja masuk mengganggu sidang parlimen pada sebelah petang, malah beliau turut mengundi usul Sosma.

“Timbalan speaker telah mengelirukan Dewan apabila beliau berkata Pasir Salak telah dikeluarkan dari Dewan Rakyat selama dua hari.

“Apakah jenis penggantungan atau hukuman jika ahli parlimen sendiri tidak sedar dan dia dibenarkan masuk dan mengundi semula?” soal Teo dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto, yang turut hadir pada sidang media itu, berkata tindakan Rashid amat mengecewakan.

Dia berkata ia juga telah menetapkan duluan yang berbahaya, membenarkan ahli parlimen mematikan mikrofon mereka untuk mengeluarkan perkataan lucah sebelum meneruskan perbahasan.

Katanya, Rashid tidak akan menemui perkataan lucah yang didakwa diucapkan oleh Tajuddin dalam Hansard, kerana ia diucapkan selepas mikrofon dimatikan.

Wakil rakyat DAP itu berkata dia sudah menyatakan perkara ini dalam suratnya kepada Rashid yang menuntut tindakan segera terhadap Tajuddin kerana kelakuannya yang didakwa seksis.

Dia menambah bahawa dia juga telah membawa sembilan ahli parlimen sebagai saksi kejadian itu dan mereka semua disoal oleh pegawai Rashid secara individu mengenai kejadian itu.

“Jadi jawapan timbalan speaker (bahawa perkataan lucah itu tiada dalam Hansard), saya rasa amat mengecewakan.

“Banyak perkara lain yang kita hendak bahas tetapi ini penting dalam Dewan, ia mesti diberi keutamaan tertinggi oleh speaker kerana kegagalan timbalan speaker juga adalah kegagalan speaker dan kita tidak mahu perkara ini berterusan,” kata Kasthuri.

Dewan Rakyat kecoh pada 20 Julai lalu selepas Tajuddin berhujah bahawa dia adalah pembela wanita sambil menuduh ahli Parlimen wanita DAP sebagai mulut celupar.

Ahli parlimen pembangkang juga menggesa tindakan disiplin dikenakan terhadap Tajuddin kerana didakwa mengucapkan perkataan “p*****k”.

Rashid kemudiannya memutuskan pada 26 Julai bahawa kata-kata lucah yang didakwa dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu tiada dalam Hansard.

Rashid juga berkata bahawa hukuman Tajuddin kerana berkelakuan tidak senonoh ialah dua hari penggantungan - hukuman yang didakwa Rashid bermula pada 20 Julai apabila dia mengarahkan Tajuddin meninggalkan Dewan Rakyat.

Tidak dapat dipastikan sama ada hari kedua penggantungan itu telah dilaksanakan atau akan dilaksanakan pada masa hadapan kerana dilaporkan Tajuddin hadir di Dewan Rakyat sehari selepas kejadian itu berlaku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS