Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menafikan dakwaan menggunakan pengaruhnya untuk menubuhkan Terengganu Investment Authority (TIA), syarikat yang kemudiannya ditukar menjadi 1MDB.
Semasa hari pertama perbicaraan mahkamah hari ini mengenai tindakan sivilnya terhadap defendan dan pengasas Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, plaintif berhujah bahawa buku 'The Sarawak Report - The inside story of 1MDB' secara salah menggambarkannya sebagai mempunyai keupayaan untuk menggunakan pengaruh dalam pembentukan TIA pada tahun 2009.
Kerabat diraja itu mendakwa buku yang dikarang oleh Rewcastle-Brown secara salah membuat dakwaan bahawa plaintif membantu ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) untuk mendapatkan peranan sebagai penasihat kepada TIA.
“Kenyataan aduan (dari buku itu) juga menunjukkan seolah-olah saya telah menggunakan kedudukan serta peranan saya untuk mempengaruhi dan membentuk TIA dan membenarkan penubuhan dana kekayaan negara.
"Saya tegaskan di sini bahawa saya bukan sahaja langsung tidak berperanan, apatah lagi mempengaruhi atau melibatkan diri dalam pembentukan TIA, malah saya langsung tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.
“Kenyataan aduan itu juga menggambarkan seolah-olah saya terlibat (yang saya nafikan sekeras-kerasnya di sini) dalam amalan yang menyalahi undang-undang, tidak berintegriti dan tidak bermoral termasuk amalan rasuah dan seolah-olah saya mempunyai hubungan rapat dengan individu bernama Jho Low, individu yang bukan sahaja disyaki dan digambarkan melalui reputasinya serta laporan media sebagai ‘playboy’, tidak berperwatakan, terlibat dalam pergaulan bebas dan tidak bermoral pada pandangan masyarakat di negara ini, malah dia adalah seorang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa.
“Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah memberikan persetujuan saya kepada Jho Low atau mana-mana pihak berhubung dengan penubuhan TIA, atau campur tangan dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengannya, termasuk mendapatkan sebarang peranan atau pelantikan dalam TIA untuk mana-mana individu. Malah, saya tidak kenal Jho Low,” titah Sultanah menerusi keterangan saksinya yang dikemukakan dan dibacakan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Rewcastle-Brown, Americk Sidhu, plaintif mengakui bahawa kenyataan yang didakwa memfitnah itu hanya terkandung dalam edisi pertama buku itu pada pertengahan 2018, dan edisi kemudiannya pada tahun itu mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah. .
Nur Zahirah memberi keterangan bahawa walaupun terdapat percubaan permohonan maaf oleh Sarawak Report kemudian pada 2018, pemfailan tindakan undang-undang diteruskan kerana permohonan maaf itu adalah tidak jelas (terbuka kepada lebih daripada satu tafsiran) dan bukannya tegas (tidak meninggalkan keraguan pada maksud perkataan) .
Perbicaraan dalam talian di hadapan hakim John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee akan diteruskan petang ini.
Peguam Vishnu Kumar mewakili Sultana Nur Zahirah.
Pada 21 Nov 2018, tindakan sivil Sultanah Terengganu bukan sahaja menamakan Rewcastle-Brown tetapi juga penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan syarikat percetakan Vinlin Press Sdn Bhd.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle-Brown menggunakan kenyataan berunsur fitnah dalam buku itu, yang dicetak oleh Vinlin Press pada Ogos 2018.
Plaintif mendakwa dia tidak terlibat sama ada dalam pentadbiran negeri atau penubuhan TIA, dan mendakwa bahawa kenyataan itu telah mencemarkan nama baiknya di mata orang ramai.
Sultanah Nur Zahirah menuntut ganti rugi RM100 juta dan mahu defendan kedua Chong menarik balik buku yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah, serta menghalang defendan ketiga Vinlin Press daripada mencetak lebih banyak salinan buku itu.
Dalam pernyataan pembelaan mereka, ketiga-tiga defendan menafikan mereka pernah menuduh Sultanah Nur Zahirah terlibat dalam rasuah.