Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lukisan 'Langkah Sheraton' Tony Pua kini jadi projek NFT
Diterbitkan:  Aug 1, 2022 2:55 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Lukisan "Langkah Sheraton" oleh Ahli Parlimen Damansara Tony Pua kini menjadi projek Non-Fungible Token (NFT) bagi meraih dana untuk kempen DAP dalam PRU akan datang.

Dalam acara pelancaran awal projek itu hari ini, Pua berkata dia menghadiahkan lukisan minyak tersebut kepada DAP.

Dia memulakan lukisan itu ketika perintah kawalan pergerakan pada 2020 dan selepas "Langkah Sheraton" yang membawa kepada kejatuhan kerajaan pusat PH.

Lukisan itu memaparkan 15 personaliti politik yang dikenali umum. Selepas siap sepenuhnya tahun lalu, ia sempat dipamerkan di Theatre Impian, Bukit Jalil.

"Saya mengambil masa agak lama untuk mendapat langkah terbaik bagi 'menjual' lukisan ini untuk meraih dana kepada parti.

"Penjualan yang lazim menerusi bidaan. Mungkin seorang taukeh akan belinya pada harga beberapa ribu ringgit dan biasanya ia akan disimpan di bilik simpanan atau galeri peribadi pengumpul, manakala tiada galeri milik kerajaan yang akan mendapatkan karya kontroversi atau 'sensitif' seumpama ini, walaupun penting dari aspek sejarah," katanya.

Akhirnya Pua memutuskan untuk "menjual" karyanya itu dalam bentuk NFT agar ia boleh dimiliki bersama secara bermakna oleh ribuan warga Malaysia.

"Menerusi platform NFT yang berkembang pesat, ia dapat memberikan nilai yang lebih tinggi dan maka meraih lebih dana untuk parti," katanya lagi.

Menurut laman web projek itu, kesemua hasil akan disalurkan kepada dana kempen DAP.

Apabila NFT "Langkah Sheraton" didagangkan, lapan peratus daripada harga transaksi akan dibayar sebagai "royalti", dengan separuh daripadanya akan diberikan kepada DAP.

Hanya 8,888 NFT akan dikeluarkan untuk projek ini. Setiap NFT berharga 45 Matic (bersamaan RM186 ketika laporan ini ditulis). Ia akan mula dijual bermula 31 Ogos hingga 16 September.

Pua menggesa sesiapa yang ingin melihat sendiri lukisan itu untuk berkunjung ke Theatre Impian, di mana ia disimpan sehinggalah pemilik baru membuat keputusan untuk memindahkannya.

Menyuarakan penghargaan kepada Pua, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata lukisan "Langkah Sheraton" adalah penting kerana ia akan mendidik generasi akan datang berkenaan detik hitam dalam sejarah Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS