Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Letak calon profesional untuk rampas balik Selangor

BN Selangor harus memberi peluang kepada muka baru terutama golongan profesional yang berpotensi dalam usaha merampas kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata golongan 'warlord' BN sebagai orang politik harus berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional selain memulakan pencarian calon lain yang dapat membantu kemenangan gabungan itu.

"Orang-orang lama bagilah peluang kepada orang-orang baru, zaman kita jadi wakil rakyat merekalah yang bantu kita. Zaman kita telah lepas, kita pula yang harus bantu muka-muka baru untuk mereka menang," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen BN Selangor di Shah Alam malam tadi.

Dia berkata kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri di Sabah, Melaka dan Johor tidak seharusnya dijadikan acuan bagi menghadapi PRU akan datang sebaliknya BN Selangor harus melakukan perubahan dengan mencari tokoh profesional dalam kalangan anak Selangor untuk dinamakan sebagai calon.

"Kita orang politik harus berjiwa besar kalau kita mahu kembalikan Selangor (kepada BN), cari orang-orang Selangor, lakukan pencarian bakat politik supaya mereka balik ke Selangor,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata pelantikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor adalah langkah permulaan untuk dia ‘terjun’ ke bidang politik.

“Peluang itu adalah peluang yang terbaik kerana bukan sahaja dia telah dikenali, tentu dia mempunyai hasrat terlibat secara langsung dalam politik kerana dia juga telah menjadi ahli Umno Cawangan Jalan Travers (Bahagian Lembah Pantai),” katanya.

Tengku Zafrul pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada BN pusat dan Selangor atas kepercayaan melantiknya sebagai bendahari BN Selangor yang baru.

Dia berkata sama ada tercalon atau tidak pada pilihan raya akan datang, keutamaan yang diberikan adalah untuk memastikan BN dapat menawan kembali Selangor.

“Kita satu pasukan di Selangor. Pengerusi BN Selangor Noh Omar dan saya akan bekerjasama dengan semua pucuk kepimpinan BN di Selangor… untuk menawan kembali Selangor,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS