Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalid Ibrahim kembali ke rahmatullah
Diterbitkan:  Jul 31, 2022 11:51 PM
Dikemaskini: 4:09 PM

Bekas menteri besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Pemergian Allahyarham pada usia 76 tahun dengan tenang dan disaksikan oleh semua ahli keluarganya, menurut hantaran di laman rasmi Facebooknya

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung dan meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

"Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.

"Atas titah dan limpah kurnia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj jenazah akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam.

"Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT khusus buat Allahyarham semoga Allah SWT memperkenan doa kita," kata hantaran di Facebook rasmi Khalid Ibrahim.

Khalid terkenal sebagai ketua pegawai eksekutif Permodalan Nasional Berhad selepas dia melancarkan "serbuan subuh" di Bursa Saham London untuk memperoleh pegangan majoriti dalam ladang Guthrie milik British di Malaysia pada 1981.

Allahyarham menyertai PKR pada 2006, dan dua tahun kemudian menjadi menteri besar Selangor selepas Pakatan Rakyat menawan Selangor.

Dia membangun reputasi sebagai pentadbir yang berjimat cermat, kerana simpanan negeri bertambah di bawah pengawasannya.

Allahyarham juga memulakan usaha untuk menstruktur semula industri air Selangor, yang ketika itu dibahagikan antara lima syarikat konsesi.

Tempoh Khalid memegang jawatan menteri besar berakhir pada 2014, selepas PKR memecatnya semasa Langkah Kajang yang berakhir dengan Azmin Ali menggantikannya sebagai menteri besar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS