Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: MOU masih berjalan, kenapa desak segerakan PRU15?
Diterbitkan:  Jul 31, 2022 6:48 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang yang diterajui Pakatan Harapan (PH) masih kekal dan terus berkuat kuasa, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bercakap pada satu majlis di kawasannya di Port Dickson hari ini, Anwar berkata klausa MOU yang telah tamat cuma melibatkan perkara pembubaran parlimen sebelum 31 Julai

Jelasnya, terdapat beberapa perkara lain dalam perjanjian itu yang masih lagi belum dipenuhi kerajaan.

"Persoalannya mengapa ada pihak mendesak untuk mengadakan pilihan segera?

"Jika satu-satunya alasan adalah untuk mendapatkan kemenangan hanya untuk menutup kes mahkamah mereka, maka ini tidak boleh dipertahankan. Ini bukan alasan untuk pilihan raya diadakan.

“Pilihan raya mesti diadakan untuk memperbaharui mandat rakyat dan bukan untuk menyelamatkan sesetengah pihak daripada disabitkan kesalahan,” katanya dengan merujuk kes mahkamah dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Namun begitu, Anwar berkata jika pilihan raya diadakan juga maka pihaknya telah sudah bersedia untuk menghadapi PRU15 meskipun PH tewas beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini.

“Kita sudah bersedia, tetapi keutamaan kita ekonomi sekarang ini, rakyat terbeban, tanggungjawab kerajaan urus ekonomi dengan baik dapat ringankan beban rakyat.

“Isu yang belum selesai termasuk soal tadbir urus dan kegagalan mengawal kenaikan kos barangan.

“Kita tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani kos sara hidup yang sememangnya membebankan rakyat. Sementara menteri meneruskan perbelanjaan boros mereka.

"Terlalu banyak kes dana awam disalahuruskan," kata ketua pembangkang itu.

Pemimpin Umno yang dilihat rapat dengan Zahid mula mendesak supaya pilihan raya segera diadakan selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan parti itu bagi meminda perlembagaannya untuk menangguhkan pemilihan parti itu selepas pilihan raya umum ke-15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS