Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dulu orang suka baju saya, bila jadi PM dikira berapa harga'
Diterbitkan:  Jul 31, 2022 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengulas mengenai kontroversi pilihan fesyennya.

Ini selepas kritikan terhadapnya susulan memakai baju berjenama yang berharga ribuan ringgit.

"Dulu orang suka baju saya. Tapi bila jadi perdana menteri, orang kira pula berapa harga," katanya ketika berucap pada majlis Konvensyen BN Selangor di Setia Alam hari ini

Ismail berkata ketika dia mengambil alih jawatan perdana menteri, antara tugas pertamanya ialah menangani pandemik Covid-19 yang masih melanda dan kesannya terhadap ekonomi.

Katanya, selepas menjadi perdana menteri dia jarang muncul di kaca televisyen.

Semasa awal wabak itu, Ismail selaku menteri kanan pertahanan telah mengadakan sidang media secara berkala untuk mengemas kini orang ramai mengenai SOP dan langkah-langkah Covid-19.

Dia kerap memakai pelbagai baju batik berwarna-warni semasa sidang akhbar itu, yang menarik perhatian orang ramai.

Pun begitu, pada Mei tahun ini, busana Ismail mencetuskan reaksi orang ramai.

Ini selepas dia memakai baju Burberry berharga RM5,500 semasa pertemuan santai dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong semasa mereka berdua berada di Tokyo, Jepun

Bulan lalu dia sekali lagi dikiritk kerana memakai baju Burberry lain yang berharga RM6,900 ketika hadir satu acara.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil kemudian membangkitkan selera Ismail Sabri yang mengenakan pakaian mahal pada masa ramai rakyat Malaysia biasa bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS