Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya selalu memaafkan tetapi tak pernah melupakan'
Diterbitkan:  Jul 31, 2022 3:05 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Seseorang pemimpin Umno yang kritikal dan tidak sealiran dengan Ahmad Zahid Hamidi masih mungkin terus menjadi calon BN untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menunurut Ahmad Zahid, walaupun pemimpin terbabit kritikal namun penilaian untuk menentukan calon Umno-BN dibuat tanpa melibatkan perasaan dendam.

Presiden Umno itu berkata demikian semasa menjawab soalan media selepas menghadiri Konvensyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Kata Ahmad Zahid hal itu boleh berlaku kerana dia tidak menyimpan dendam ke atas mana-mana pemimpin Umno. Cuma tambah Ahmad Zahid, dia tidak melupakan apa yang dilakukan orang lain ke atasnya.

"Jadi (pemilihan calon) ini saya tidak ada sifat dendam.

"Saya selalu memaafkan tetapi tidak pernah melupakan," katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini beberapa pemuka Umno dilihat tidak sehaluan dengan Ahmad Zahid serta sesetengah pemimpin parti itu termasuk semasa parti itu mengarahkan ahli parlimen mereka menarik sokongan daripada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

Desakan Umno untuk parlimen segera dibubarkan juga mendapat reaksi yang tidak memberangsangkan daripada beberapa pemimpin khususnya dalam kalangan anggota kabinet.

Kirim salam, minta maaf

Baru-baru ini juga Ahli Parlimen Pasir Salak dan bekas pengarah pilihan raya Umno Malaysia, Tajuddin Abdul Rahman, secara terbuka menyerang Ahmad Zahid termasuk dalam isu sokongan yang diberikannya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim agar menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin.

Antara pemimpin Umno yang dianggap tidak sehaluan dengan Ahmad Zahid ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Sikap sesetengah pemimpin itu mendorong polemik pemerhati mengenai kedudukan mereka dalam PRU akan datang, khususnya kerana watikah untuk menjadi calon ditandatangani oleh presiden parti.

Ahmad Zahid berkata pemilihan calon BN dalam dua pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini membuktikan pemimpin parti yang kritikal terhadapnya masih diberi peluang.

"Dalam PRN Melaka, ada beberapa calon yang tulis dan berucap yang menyentuh perkara peribadi... pun terpilih sebagai calon. Bbegitu juga di (PRN) Johor," katanya seperti dipetik BH Online.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu juga ditanya mengenai sikap Umno terhadap individu yang ingin kembali selepas pernah meninggalkan parti berkenaan.

"Kirim salam, dan minta maaf banyak-banyak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS