Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Langkah Putin dan percaturan politik Eropah

ULASAN | Apa istimewanya Rusia - khususnya Vladimir Putin - sehingga menyebabkan sebahagian negara anggota Nato dan sekutu AS yang lain tidak memberikan sokongan jitu kepada Ukraine?

Perang itu berbeza daripada Perang Teluk. Apabila 35 buah negara bersatu di belakang AS, hanya lima minggu sahaja masa diperlukan mereka untuk menghalau keluar tentera Iraq dari Kuwait.

Inilah uniknya Putin. Setelah mengambil alih kuasa sejak 2000, fokus utama Putin ialah mengeluarkan Rusia daripada 'keterperukan.' Rusia tidak hanya fokus kepada negara-negara bekas Soviet malah mula mempertingkat hubungan strategik dengan dunia luar.

Jika sebelum ini Rusia bergantung kepada Ukraine sebagai pintu masuk untuk menyalurkan gasnya ke Eropah, namun keadaan berubah dengan terbinanya paip gas melalui Laut Baltik ke Jerman.

Hal itu berlaku disebabkan permintaan Kiev agar nilai bayaran - dalam bentuk gas - untuk mereka kerana menyalurkan bahan itu ke Eropah. Kremlin menolaknya.

Jerman bukan saja menjadi salah satu pembeli gas utama Rusia, tetapi juga pintu masuk untuk menyalurkan bahan tersebut ke lebih 20 negara lain di Eropah.

Sebahagian besar negara di Eropah bergantung kepada dari Rusia dengan sesetengahnya sehingga ke tahap 70 peratus.

Turki yang menjadi sekutu kedua terbesar Nato - selepas AS - juga bergantung lebih 50 peratus gasnya dari Rusia. Asalnya 70 peratus, tetapi berjaya dikurangkan setelah Turki mula membeli gas dari Iran dan Azerbaijan.

Lokasi lawatan awal Salman

Di Asia Timur, Rusia tidak hanya mempunyai hubungan strategik dengan China, tetapi juga dengan Jepun dan Korea Selatan.

Walaupun Jepun mempunyai tuntutan bertindih terhadap Pulau Kuril yang asalnya milik Jepun, tetapi dihadiahkan kepada Rusia oleh kuasa besar selepas berjaya memenangi Perang Dunia Kedua.

Ia tidak menghalang Tokyo melaburkan sejumlah besar wangnya untuk membina paip gas dari Rusia ke Jepun, selain beberapa pelaburan lain yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Di Asia Barat, Rusia tidak hanya mempunyai hubungan strategik dengan Iran dan Syria.

Mutakhir ini, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar yang selama ini menjadi sekutu AS mula meningkatkan hubungan strategik dengan Rusia.

Pada peringkat awal pemerintahan Raja Salman Abdulaziz al-Saud, Rusia menjadi destinasi terawal dilawati oleh pemerintah Arab Saudi itu. Beberapa perjanjian perdagangan bernilai berbilion dolar juga dimeterai kedua-dua negara.

Kemuncaknya ialah pada Ogos tahun lalu apabila Riyadh menandatangani memorandum persefahaman dengan Moscow bagi memperolehi sistem pertahanan peluru berpandu antipesawat (S-400) sebagaimana yang turut diperolehi oleh Turki sebelumnya.

Hubungan di antara negara-negara Teluk bukan semata-mata untuk membeli senjata Rusia, tetapi juga untuk mengubah 'kebergantungan' mereka yang sebelum ini hanya kepada AS semata-mata.

Kejatuhan Hosni Mubarak - sekutu AS di Mesir pada 2011 - pula memberi pengajaran kepada monarki di negara-negara Arab bahawa Washington tidak sentiasa boleh diharapkan untuk mempertahankan sekutunya.

Oleh itu imbangan pengaruh perlu dibina iaitu dengan menjalinkan hubungan strategik dengan Rusia.

Dalam konteks serantau pula, Arab Saudi dan UAE tidak mahu kesemua pengaruh Rusia tertumpu kepada Iran semata-mata, sebaliknya Moscow perlu mengambil kira sekutu atau rakan strategik barunya dalam membuat sebarang keputusan di rantau tersebut.

Di Asia Selatan, India pula meneruskan import minyak dan gas dari Rusia walaupun selepas mendapat tekanan AS.

Ketika memberikan jawapan terhadap permintaan Rumah Putih agar New Delhi menghentikan hubungan dagang tersebut, Menteri Luar India, S Jaishankar, menjelaskan negara itu mempunyai lebih 1.3 billion penduduk dan mereka ada hak untuk menentukan masa depan sendiri.

Mencari jalan keluar

Malah kata Jaishankar juga, harga minyak dan gas yang lebih murah ditawarkan Rusia amat penting ke arah memenuhi keperluan domestik India. Bukan sekadar itu, India juga merupakan salah satu pembeli utama senjata Rusia.

Menurut Stockholm International Peace Research Institute, untuk tempoh sedekad lalu, India membelanjakan AS$25 bilion untuk membeli senjata dari Rusia berbanding hanya AS$4 bilion dari AS.

Daripada contoh-contoh di atas, ia dapat member gambaran mengenai perubahan perspektif dalam hubungan dua hala di antara negara-negara tersebut dengan Rusia.

Pun begitu peningkatan hubungan tersebut tidak bermakna negara terbabit sudah menyertai blok penyokong Moscow, sebaliknya ia lebih kepada faktor keperluan domestik dan serantau.

Selain keperluan keselamatan, tenaga dan makanan, sebahagian negara tersebut berada dalam fasa mencari jalan keluar daripada kebergantungan kepada hanya satu kuasa dunia.

Ia juga menggambarkan kejayaan usaha Putin selama lebih dua dekad membawa Rusia daripada keluar ‘keterperukan’ untuk menjadi salah satu ‘board of directors’ kepada dunia yang sikap dan pendapat mereka mesti diambil kira negara lain.

Hal inilah yang menyulitkan usaha menghentikan perang Rusia-Ukraine.

Disebabkan itulah juga - setelah lima bulan Rusia menyerang Ukraine - tidak ada kesepakatan yang jitu dalam kalangan blok pro-AS atau Nato mengenai cara menangani krisis tersebut.

Setiap negara terbabit sedang melihat perkara yang lebih utama iaitu kepentingan mereka sendiri berbanding menetapkan langkah sama ada mahu bersama Rusia atau Ukraine.


MOHD NASAIE ISMAIL ialah mahasiswa sarjana Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi UiTM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS