Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini membayangkan dia sedia untuk bersara daripada politik selepas PRU15.
Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata jika bersara, dia ingin berehat dan meluangkan masa dengan keluarganya.
“Mungkin penggal akhir, lepas itu berehat sahajalah duduk di rumah dengan isteri, cucu-cucu. Ramai lapan orang, anak-anak.
“Mungkin sudah sampai masa, tapi mungkin juga kalau keadaan mendesak dan memerlukan insya-Allah kita akan fikirkan perkara itu," kata presiden Bersatu itu dalam satu acara di Kuala Terengganu, seperti dipetik Free Malaysia Today.
Bagaimanapun, katanya lagi, ia tetap bergantung kepada keputusan yang dibuat pucuk pimpinan Bersatu.
Muhyiddin merupakan perdana menteri kelapan dan dilantik ke jawatan itu susulan Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH.
Bagaimanapun tempoh pentadbirannya tidak lama, iaitu hanya 17 bulan, selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya yang memaksanya untuk letak jawatan.