Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSC teliti RUU Kawalan Tembakau dari perspektif hak kanak-kanak
Diterbitkan:  Jul 30, 2022 12:58 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) bagi Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial berharap jawatankuasa itu diberi peluang untuk menilai sama ada pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan di parlimen selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pengerusinya, Azalina Othman Said berkata, ini kerana PSC khuatir fasal-fasal berhubung penguatkuasaan RUU tersebut akan membuka ruang untuk penyalahgunaan dan salah tafsir serta hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan.

"PSC menghargai aspirasi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencapai Generational End Game bagi produk tembakau demi kesihatan rakyat Malaysia.

"Namun, pihak PSC khuatir bahawa fasal-fasal tentang penguatkuasaan RUU tersebut akan membuka ruang untuk penyalahgunaan dan salah tafsir serta hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan.

"Selain daripada itu, Fasal 24 akan memberi kuasa kepada menteri untuk melantik mana-mana orang untuk menjadi pegawai dalam penguatkuasaan akta tersebut,” kata Azalina dalam satu kenyataan.

Lapan lagi ahli parlimen dalam jawatankuasa itu ialah ahli Parlimen Rompin, Hasan Arifin; ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang; ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid; ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng dan ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Mengulas lanjut, merujuk kepada pelantikan pegawai yang dilantik, Azalina berkata PSC turut menimbulkan kebimbangan mengenai skop kuasa pegawai terlibat.

"Di mana orang yang diberi kuasa boleh menyiasat, memasuki premis, mengambil sampel, memberhentikan, mengeledah dan menyita dengan atau tanpa waran dan sebagainya, seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 24, Fasal 26, Fasal 27, Fasal 28, Fasal 32 dan Fasal 33.

"Pihak PSC turut menyatakan kegusaran kerana penguatkuasaan ini melibatkan golongan bawah umur dan pengendalian golongan ini memerlukan pegawai yang terlatih dan mempunyai sensitiviti kanak-kanak, selaras dengan norma antarabangsa," katanya.

Selain penguatkuasaan, Azalina berkata PSC juga mendapati Fasal 54(1)(b) berkenaan kompaun kesalahan juga perlu diteliti dengan lebih mendalam atas implikasinya ke atas golongan bawah umur.

Bagaimanapun, kata Azalina, pihaknya menghargai inisiatif KKM untuk merujuk RUU tersebut kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi sebelum pembentangan di Dewan Rakyat.

Pihak PSC juga menurutnya menyokong syor nombor 13 Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi yang tidak bersetuju dengan cadangan hukuman jenayah yang dikenakan kepada kesalahan yang melibatkan remaja.

"Dengan itu, pihak PSC bersedia membantu pihak KKM berkenaan RUU tersebut dari perspektif hak kanak-kanak sebelum Bacaan Kedua RUU tersebut di Dewan Rakyat," tambahnya.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya membeli, merokok dan memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Di bawah RUU berkenaan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS