Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini menyifatkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebagai seorang "reformis yang tidak diendahkan" selepas apa yang dicapainya sejak disingkirkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2015.
Azhar antara lain membangkitkan kebangkitan semula Muhyiddin sebagai presiden Bersatu yang menjadi sebahagian daripada gabungan yang menamatkan kuasa Umno selama 61 tahun, agenda pembaharuannya ketika menjadi menteri dalam negeri, dan usahanya memimpin negara di awal penularan wabak Covid-19.
"Muhyiddin Yassin, perdana menteri kelapan, adalah tokoh nasional yang masyhur, personaliti unggul dan seorang pembaharu, yang mana ramai memilih untuk tidak mengendahkan usaha pembaharuannya, atas apa jua sebab mereka," katanya ketika berucap di Kuala Lumpur semalam.
Azhar memberikan ucapan itu, yang disampaikan dalam bahasa Inggeris, ketika merasmikan buku bertajuk “Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis” tulisan bekas pengerusi Media Prima Abd Mutalib Razak.
Buku itu diterbitkan Yayasan Pendidikan Islam dan Ayu Manja Training and Consultancy Sdn Bhd.
Muhyiddin disingkirkan daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian dipecat daripada Umno ekoran kritikan terbukanya terhadap perdana menteri ketika itu, Najib Razak berhubung skandal 1MDB.
Dia kemudian mengasaskan Bersatu bersama-sama Dr Mahathir Mohamad dan beberapa yang lain. Parti itu kemudian menyertai PH bagi menghadapi BN dalam PRU14.
Azhar menyifatkan kebangkitan semula Muhyiddin sebagai "versi moden kisah David melawan Goliath".
Berhubung pencapaian Muhyiddin sebagai menteri dalam negeri ketika pentadbiran PH, Azhar berkata antara inisiatif awal Muhyiddin adalah menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti undang-undang yang dianggap "tidak sesuai" seperti Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).
"Saya tahu sebab saya ada dalam jawatankuasa, bersama-sama (bekas) hakim Mah Weng Kwai dan aktivis hak asasi lain serta ahli akademik terkenal.
"Jawatankuasa bermesyuarat banyak kali, meneliti setiap perincian undang-undang dan mendengar pemegang taruh yang terbabit," katanya.
Kata Azhar lagi, Muhyiddinlah yang menyokongnya untuk dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri dan ingin melantiknya sebagai speaker Dewan Rakyat, soalan pertamanya dalam pertemuan mereka adalah "bagaimana dengan SPR?"
"Itulah keprihatinannya terhadap reformasi yang saya jalankan dalam SPR sehingga dia merasa perlu untuk memastikan SPR dalam kedudukan baik walaupun setelah saya meninggalkannya," katanya lagi.
Menyentuh Langkah Sheraton pada 2020 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH dan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri pentabdiran Perikatan Nasional (PN), Azhar berkata Muhyiddin, "seperti saya ketika menjadi pengerusi SPR, tidak pernah mahukan jawatan itu".
Ini kerana Muhyiddin mengambil alih pentadbiran di saat ketidaktentuan politik, dengan dunia berdepan wabak Covid-19 dan pergerakan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia, katanya.
Namun, katanya lagi, tindakan pertama Muhyiddin adalah untuk menjaga kebajikan rakyat walaupun tindakan itu tidak popular.
"Jalan raya menjadi kosong, bangunan kosong, ekonomi terhenti. Tapi kesihatan dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan. Kejayaan Malaysia menghadapi Covid-19, kejayaan yang kita semua nikmati sekarang, adalah hasil yang disemai daripada usaha Muhyiddin dan, sekali lagi, ia cukup tidak diendahkan.
"Tanpa perintah kawalan pergerakan dan usahanya untuk vaksinasi, tiada siapa tahu keadaan kita sekarang. Namun, Tan Sri (Muhyiddin) bukanlah orang yang akan mendabik dada dan melaungkan namanya sendiri," kata Azhar.
Azhar juga memuji langkah Muhyiddin untuk letak jawatan selepas Umno menarik balik sokongan terhadapnya.
"Tan Sri boleh dengan mudah menghalangnya dengan melakukan rundingan...tetapi dia tidak melakukannya. Dia berundur secara terhormat.
"Tidak ramai yang capai apa yang beliau capai dalam saat-saat sukar ketika beliau menjadi perdana menteri. Orang yang tidak kuat (lesser) tidak akan melakukan apa yang beliau telah lakukan," katanya lagi.