Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Janji perlu ditunaikan' - Muhyiddin nafi PN ugut Ismail Sabri

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu menunaikan apa perjanjian yang dibuatnya dengan Perikatan Nasional (PN), kata pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata demikian bagi menafikan kritikan bahawa dia mengugut Ismail Sabri.

"Itu perjanjian (antara PN dengan Ismail Sabri). Kalau dalam Islam, janji mesti ditunaikan. Jadi ini bukan ugut.

"Umno nak kata apa pun, boleh tapi (hal) ini antara Ismail Sabri ketika dia belum menjadi perdana menteri dengan PN," katanya kepada pemberita dalam satu acara di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan PN sebagai mengugut Ismail Sabri untuk "mendapatkan jawatan timbalan menteri dan menteri".

Ia selepas Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin menyuarakan rasa kecewa terhadap Ismail yang menurutnya tidak bersungguh dalam memenuhi persefahaman yang dicapai mereka, yang antaranya dikatakan turut membabitkan pelantikan timbalan perdana menteri.

Hamzah turut berkata PN akan menghantar wakilnya untuk bertemu Ismail Sabri tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata dia akan menyerahkan kepada Hamzah untuk berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri berhubung waktu yang sesuai untuk mengadakan pertemuan itu.

Bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada persetujuan yang dicapai itu turut melibatkan jawatan timbalan perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS